Berani pilih GST atau SST, jangan hibrid - Utusan Malaysia

Berani pilih GST atau SST, jangan hibrid

WEE Ka Siong ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat keputusan berani dengan mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tanpa menggabungkannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, GST perlu dikembalikan tanpa digabungkan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana kedua-duanya berasaskan konsep percukaian yang berbeza.

Menurutnya, pelaksanaan sistem hibrid yang menggabungkan kedua-dua kaedah percukaian itu tidak akan berkesan.

“Kita perlu membuat keputusan yang berani. Kalau tidak, kita akan terus teragak-agak tanpa membuat keputusan dan akhirnya mempunyai sistem hibrid.

“Sejak saya dengar perkataan ‘hibrid’, saya sudah kata tidak. Sama ada kita kembali kepada GST atau teruskan dengan SST,” katanya kepada pemberita selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar suara rakyat dan mempertimbangkan untuk mengembalikan GST.

Katanya, beliau secara konsisten menyokong pelaksanaan GST dan usaha mengembalikan sistem percukaian itu seharusnya menjadi perjuangan bersama semua parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi meningkatkan hasil kerajaan.

“Selepas lapan tahun, kita masih mengatakan perkara yang sama untuk menambah hasil kerajaan,” katanya.

Tambahnya, penerbitan Kementerian Kewangan (MoF) yang membandingkan GST dan SST berdasarkan lapan aspek turut menunjukkan GST sebagai sistem yang lebih baik.

“Ini bukan saya yang kata. Ini adalah buku yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan sendiri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×