KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memohon pertimbangan wajar daripada Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan tuntutan 40 peratus pembayaran hasil kepada negeri dengan segera.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, permohonan itu telah dikemukakan kerajaan negeri kepada Persekutuan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
“Untuk makluman juga, kita bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah juga ada mohon pertimbangan, terutama dalam penyelesaian 40 peratus pembayaran kepada Sabah itu juga mendapat pertimbangan yang sewajarnya.
“Jadi, kita berharap supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan,” katanya pada sidang media bersama Anwar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg selepas mesyuarat itu.
Sementara itu, dalam sidang media sama Anwar turut memberitahu kerajaan telah bersetuju menaikkan bayaran interim untuk negeri itu kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini sementara rundingan mengenai perkara berkenaan diteruskan.
Beliau berkata jumlah itu dijangka disalurkan pada akhir Oktober atau awal November selepas sidang Parlimen pada Oktober.
Pada 30 Mei lepas Perdana Menteri dilaporkan berkata geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam MA63.-BERNAMA










