Perdagangan borong dan runcit catat jualan RM170.5 bilion pada Julai - Utusan Malaysia

Perdagangan borong dan runcit catat jualan RM170.5 bilion pada Julai

PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan pada Julai. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit merekodkan nilai jualan sebanyak RM170.5 bilion pada Julai 2026, meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun, seiring dengan peningkatan nilai jualan, indeks volum turut meningkat 4.1 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, ketiga-tiga subsektor terus merekodkan pertumbuhan positif pada Julai 2026.

Katanya, perdagangan borong merekodkan nilai jualan RM78.4 bilion, meningkat RM8.2 bilion atau 11.7 peratus tahun ke tahun.

“Perdagangan runcit pula meningkat RM4.3 bilion atau 6.4 peratus kepada RM71.3 bilion, manakala subsektor kenderaan bermotor berkembang RM1.5 bilion atau 7.9 peratus kepada RM20.8 bilion.

“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga subsektor ini menyumbang RM14.1 bilion kepada peningkatan nilai jualan dengan perdagangan borong mencatat sumbangan terbesar, diikuti perdagangan runcit dan kenderaan bermotor,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, perdagangan borong kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan keseluruhan pada Julai 2026 dengan pertumbuhan 11.7 peratus.

“Prestasi ini didorong terutamanya oleh kumpulan Lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 22.8 peratus kepada RM31.7 bilion.

“Prestasi kumpulan ini disokong oleh peningkatan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair (LPG), yang sebahagiannya turut dipengaruhi oleh pergerakan harga pasaran, khususnya bagi produk berkaitan petroleum.

“Jualan borong barangan isi rumah berkembang 5.2 peratus kepada RM15.5 bilion, disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan, barang kemas dan pakaian,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup meningkat 9.0 peratus, terutamanya disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap minyak sawit.

“Selain itu, jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 3.9 peratus kepada RM14.7 bilion, didorong oleh peningkatan jualan beras, bijirin lain, tepung dan gula, produk tenusu dan ikan dan lain-lain makanan laut.

“Subsektor perdagangan runcit terus mencatatkan prestasi positif pada Julai 2026 dengan nilai jualan meningkat 6.4 peratus kepada RM71.3 bilion.

“Prestasi ini diterajui oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan, yang meningkat 7.2 peratus kepada RM27.6 bilion, disokong oleh jualan yang berterusan di pasar raya dan gedung serbaneka.

“Jualan runcit barangan lain di kedai pengkhususan turut meningkat 7.6 peratus kepada RM15.1 bilion, didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan serta barang kemas,” katanya.

Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan di kedai pengkhususan mencatatkan pertumbuhan 7.5 peratus, manakala jualan runcit makanan, minuman dan tembakau di kedai pengkhususan meningkat 6.4 peratus, disokong oleh peningkatan jualan produk bakeri dan konfeksi, ikan dan lain-lain makanan laut serta produk tenusu dan telur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×