KUALA LUMPUR: Beberapa bekas pemimpin yang kembali bersama UMNO menyifatkan Ucapan Dasar Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan UMNO di landasan yang betul dalam menentukan hala tuju politiknya.
Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ucapan tersebut turut mengimbas perjalanan parti sejak 80 tahun lalu termasuk pengajaran daripada apa yang dilalui UMNO sepanjang lapan tahun kebelakangan ini.
Menurutnya, perjalanan itu membuktikan politik mempunyai putaran tersendiri dengan sesebuah parti melalui fasa naik dan turun.
“Ada masa kita naik, ada masa kita turun dan masa kita naik, kita ditatang, dipuji, disokong tapi masa kita turun pada lapan tahun sebelum ini kita dicemuh, kita diserang, kita difitnah.
“Jadi itu semua disebut oleh Presiden sebagai pengajaran dan memberikan kita kekuatan,” katanya ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Hishammuddin berkata, terpulang kepada barisan kepimpinan parti ketika ini untuk memastikan putaran politik berkenaan terus membawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) ke arah lebih baik.
Beliau berkata, pemimpin di setiap lapisan perlu memikul amanah dengan jujur, berani, konsisten dan istiqamah dalam perjuangan parti.
“Saya tengok ucapan Datuk Seri Zahid tadi merupakan antara yang terbaik saya dengar daripada Presiden UMNO dan saya harap bahawa ia boleh meletakkan kita pada landasan yang betul,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan ucapan Ahmad Zahid memberikan hala tuju yang jelas kepada UMNO dan BN dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Ini ucapan yang jelas tentang hala tuju UMNO dan BN untuk pilihan raya akan datang.
“Rumusan daripada ucapan ini, This is the speech of a Prime Minister-in-waiting, and a speech of a government-in-waiting,” katanya. –UTUSAN










