Kredit: Aidiyusman Mohamad Yushoff, Restoran Gustoso, Parkroyal Penang Resort

Bagi yang gemarkan hidangan pasta dengan rasa berbeza, spageti ala puttanesca pasti menarik untuk dicuba.
Hidangan klasik Itali ini menampilkan gabungan sos tomato, ikan bilis, buah zaitun dan capers yang menghasilkan rasa masin, sedikit masam serta pedas.
Bahan-bahan:
• 160 gram spageti
• 3 ulas bawang putih (dicincang halus)
• 4 hingga 5 keping ikan bilis
• 2 sudu besar minyak zaitun
• 180 gram puri tomato
• 8 hingga 10 biji zaitun hitam (dihiris)
• 1 ½ sudu besar capers
• 25 gram tomato kering
• 1/2 sudu kecil emping cili kering
• 1/2 sudu kecil gula
• 4 hingga 5 helai daun selasih (dihiris halus)
• Garam dan lada hitam secukup rasa
• Daun parsli secukupnya (dicincang halus)
• Minyak zaitun dara tambahan
Cara penyediaan:
• Rebus spageti dalam air garam hingga sedikit kenyal. Toskan dan ketepikan.
• Panaskan minyak zaitun dan tumis bawang putih sehingga naik bau, kemudian masukkan ikan bilis dan lenyekkan sehingga hancur.
• Tambahkan puri tomato, buah zaitun, capers, tomato kering dan emping cili kering.
• Perasakan dengan gula, garam dan lada hitam, kemudian reneh seketika.
• Masukkan spageti bersama sedikit air rebusan pasta dan gaul sehingga sos sebati.
• Tutup api, masukkan hirisan daun selasih dan gaul rata.
• Hidangkan bersama taburan daun parsli dan renjisan minyak zaitun dara tambahan.
Tips:
• Gulung spageti menggunakan penyepit dan senduk sehingga membentuk gulungan kemas.
• Letakkan gulungan itu di tepi pinggan.
• Hiaskan dengan ikan bilis, buah zaitun, capers, tomato kering dan daun selasih.
• Akhiri dengan renjisan minyak basil dan taburan daun parsli.










