JOHOR BAHRU: Seorang pempengaruh media sosial dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan melakukan pecah amanah melibatkan wang seorang pramugari sebanyak RM31,900, tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Azri Abdul Rahim, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Ronie Entili.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa telah melakukan pecah amanah melibatkan wang berjumlah RM31,900 milik seorang wanita yang juga bekas pramugari di Jalan Nusaria, Taman Nusantara, Gelang Patah, Iskandar Puteri antara 25 Januari 2025 hingga 7 Mac 2025.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun beserta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina memohon jaminan RM15,000 buat tertuduh, bagaimanapun peguam mewakili tertuduh, Atuffah Said memohon mahkamah memberi jaminan yang munasabah ke atas anak guamnya.
“Ini merupakan kesalahan pertama anak guam, saya mohon mahkamah membenarkan satu jaminan yang munasabah. Anak guam bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan selain menanggung seorang isteri, mentua dan seorang anak,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes.-UTUSAN










