KUALA LUMPUR: Hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri seni tidak menghalang penyanyi, Ezad Lazim untuk menjadikan keberanian penyanyi generasi baharu sebagai inspirasi dalam mengembangkan kerjayanya.
Menurut Ezad, kemampuan penyanyi generasi baharu seperti Aisha Retno dan Aina Abdul menguruskan karya dan bergerak sendiri dalam era digital seakan memberi ‘tamparan’ kepadanya untuk lebih berani meneroka cabang lain dalam industri muzik.
“Saya teruja melihat bakat-bakat baharu seperti Aisha Retno dan Aina Abdul yang mampu melakukan banyak perkara sendiri. Saya fikir mereka yang baharu ini bagus. Kita nampak bagaimana landskap pemasaran muzik sudah berubah.
“Generasi baharu sekarang lebih berani bermain dalam dunia digital. Sedikit sebanyak perkara itu seperti memberikan ‘tamparan’ kepada saya. Saya terfikir, apa kata saya cuba buat juga?
“Dengan kesabaran, semangat serta bantuan rakan-rakan, akhirnya saya mendapat keberanian untuk melakukannya,” katanya.
Ezad berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran lagu terbaharunya yang berjudul Rasa Cinta, pada Khamis.
Tambah Ezad, perubahan industri ketika ini juga menyaksikan kedudukan artis dan syarikat rakaman tidak lagi sama seperti ketika dia memulakan kerjaya dahulu.
“Kalau kita perhatikan, situasinya sudah berubah. Sekarang syarikat rakaman pula yang mencari artis yang sudah mempunyai nama untuk bekerjasama. Dahulu, artis mencari syarikat rakaman. Sekarang syarikat rakaman mencari artis dan mahu bekerjasama dengan mereka.
“Saya nampak perubahan itu melalui artis seperti Aisha Retno dan ramai lagi, termasuk artis dalam skena indie. Mereka memberikan semangat dan inspirasi kepada saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, vokalis Exists itu tidak melihat tempoh hampir 30 tahun dalam industri sebagai alasan untuk bersikap ego generasi baharu, sebaliknya, dia percaya artis senior juga perlu terbuka mempelajari perkara baharu.
“Kadang-kadang sebagai artis lama, kita mungkin rasa segan mahu bertanya kepada artis baharu kerana merasakan kita lebih lama dan lebih berpengalaman.
“Tetapi sebenarnya banyak perkara dan idea baharu yang kita boleh belajar daripada mereka. Kreativiti mereka sekarang lebih luas dan tidak terbatas. Jadi, kita sendiri perlu berdaya saing,” kongsinya.
Keberanian generasi baharu itu turut menjadi pencetus kepada Ezad untuk mengambil langkah lebih serius dalam bidang penerbitan muzik menerusi penubuhan labelnya sendiri, EZ Records yang dinaungi bersama isterinya, Zeana Ramli.
“Secara peribadi, memang saya rasa agak lambat. Sepatutnya saya sudah boleh melakukannya sejak dahulu. Mungkin dahulu banyak perkara yang saya fikirkan dan saya tidak cukup serius. Tetapi alhamdulillah, saya masih diberikan peluang, inspirasi dan semangat.
“Bagi saya, untuk menghasilkan karya seni, tidak pernah terlambat. Selagi kita masih sihat, masih boleh bernafas dan masih mampu menghasilkan karya, saya rasa tidak terlambat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ezad baru sahaja melancarkan lagu Rasa Cinta ciptaannya sendiri dan liriknya menerima sentuhan dari isteri tercinta, Zeana Ramli sekali gus merupakan projek sulung EZ Records.










