“Mungkin saya akan berhenti cuba membuktikan saya cukup” – Ernie Zakri - Utusan Malaysia

“Mungkin saya akan berhenti cuba membuktikan saya cukup” – Ernie Zakri

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri meluahkan rasa penat apabila hasil kerja dan pencapaiannya sebagai anak seni sering dipersoalkan seolah-olah apa yang dilakukan masih belum cukup di mata sesetengah pihak.

Menerusi luahan di Threads semalam, Ernie, 34, berkata, perasaan itu bukan timbul kerana sudah tiada apa-apa lagi untuk diberikan.

Kata Ernie, ia sebaliknya kerana setiap usaha yang dicurahkan ke dalam karya masih ada pihak yang menganggapnya tidak memadai.

“Kadang-kadang, saya berasa letih untuk terus berkarya. Bukan kerana saya sudah tiada apa-apa lagi untuk diberikan, tetapi kerana entah bagaimana, tidak kira sebanyak mana saya curahkan jiwa dan tenaga ke dalam karya saya, akan sentiasa ada seseorang yang merasakan bahawa ia masih belum cukup.

“Bahkan pencapaian yang paling kecil pun akan diukur atau dipersoalkan. Dan kadang-kadang saya tertanya-tanya apakah sebenarnya yang dianggap cukup?” katanya di Threads.

Penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai penerima Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu mengakui sudah berdamai dengan hakikat bahawa dirinya akan sentiasa menjadi bahan percakapan, terutama apabila berada dalam perhatian umum.

Menurut Ernie, ada yang bercakap berdasarkan perkara yang mereka lihat, ada membuat andaian dan tidak kurang juga yang memberikan pandangan terhadap perkara yang tidak diketahui sepenuhnya.

“Saya tahu, orang akan sentiasa bercakap macam-macam. Mereka bercakap tentang perkara yang mereka lihat, perkara yang mereka anggap, dan kadang-kadang tentang perkara yang langsung tidak mereka ketahui. Saya sudah berdamai dengan hakikat itu.

“Namun, saya berharap kita dapat belajar untuk lebih berlembut terhadap perkara-perkara yang kita pilih untuk memperkecilkan di mata orang lain,” katanya.

Ernie yang sinonim dengan lagu seperti Masing-Masing turut mengingatkan orang ramai bahawa sesuatu pencapaian yang dilihat dari luar sebenarnya menyimpan cerita panjang yang tidak diketahui khalayak.

Katanya, apa yang dipersembahkan di atas pentas hanyalah hasil akhir selepas melalui pelbagai cabaran, pengorbanan dan tempoh yang panjang untuk sampai ke tahap berkenaan.

“Kerana kamu hanya melihat lagunya. Kamu tidak melihat malam-malam tanpa tidur di sebalik penghasilannya.

“Kamu melihat pentas, tetapi kamu tidak melihat bertahun-tahun usaha yang diperlukan untuk berdiri di situ. Kamu melihat pencapaian, tetapi kamu tidak melihat insan yang terpaksa terus percaya pada dirinya sendiri untuk sampai ke tahap itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ernie memberi bayangan bahawa dirinya tidak lagi mahu menghabiskan tenaga untuk membuktikan kepada orang lain bahawa dirinya sudah cukup baik sebagai seorang penyanyi dan pengkarya.

Sebaliknya, dia mahu terus menghasilkan karya tanpa terlalu memikirkan ukuran atau penilaian pihak lain terhadap setiap kejayaan yang diraih.

“Mungkin… saya akan berhenti cuba membuktikan bahawa diri saya ini sudah cukup.

“Saya akan terus berkarya. Dan jika kemenangan kecil saya sekalipun masih terasa terlalu kecil bagi kamu, mungkin masalahnya bukanlah pada besar atau kecilnya pencapaian saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×