Klinik Desa Sumpitan, kuarters musnah dalam kebakaran

Klinik Desa Sumpitan, kuarters musnah dalam kebakaran

ANGGOTA bomba memadam kebakaran yang memusnahkan Klinik Desa Sumpitan di Kampung Sumpitan, Lenggong hari ini.-IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Klinik Desa Sumpitan di Kampung Sumpitan di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Dalam kejadian sekitar pukul 4 pagi itu, bangunan kelas B yang dijadikan klinik dan kuarters itu musnah terbakar kira-kira 90 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dan BBP Batu Kurau diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran tersebut.

Katanya, kebakaran membabitkan sebuah bangunan kelas B berkeluasan kira-kira 40 kaki x 60 kaki yang digunakan sebagai klinik dan sebuah kuarters.

“Setibanya di lokasi, didapati bangunan klinik dan kuarters sedang marak terbakar kira-kira 90 peratus.

“Sebuah kereta Proton Preve turut terbakar kira-kira lima peratus, namun kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos bantu mula dan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan.

Katanya, bekalan air diperoleh daripada jentera bomba dan sumber air terbuka sebelum kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.50 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.24 pagi.

“Seramai 13 anggota bomba dengan bantuan lima anggota polis dan dua petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) terbabit dalam operasi berkenaan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×