RAMAI antara pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diletakkan dibawah seliaan Najwa Latif sedia maklum akan pembabitannya dalam dunia nyanyian.
Namun pensyarah Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) ini bijak mengasingkan kedua-dua kerjaya tersebut, tidak mencampur adukkan antara menyanyi dan tenaga pendidik.
“Memang ada pelajar saya yang maklum akan aktiviti nyanyian saya. Tetapi tidaklah saya mempromosikan karier seni saya kepada mereka. Cukup pelajar mengenali saya sebagai pensyarah mereka.
“Sejak awal lagi saya mengasingkan dunia pensyarah dengan penyanyi. Sebagai tenaga pengajar, saya dikenali dengan sikap yang tegas terhadap pelajar-pelajar saya. Alhamdulillah mereka hormati perkara itu,” katanya pada sidang media konsert Wali Live in Johor Bharu, baru-baru ini.
Jadual harian Najwa tidak banyak berubah selepas penyanyi lagu Cinta Muka buku Ini menimang cahaya mata sulung pada 12 November lepas.
Najwa bersyukur kerana dipermudahkan segala urusan meskipun akur dengan jadual padat sebagai pensyarah, penyanyi dan ibu.
“Aktiviti menyanyi berlaku pada hujung minggu, jadi kalau mahu komen pasal itu, sama sahaja, tiada perubahan.
“Dan sekarang apabila sudah menimang cahaya mata, aktiviti nyanyian dihadkan pada hari Sabtu sahaja manakala hari Ahad adalah masa untuk keluarga,” ujarnya.
Kata Najwa, dia seronok menjaga dan melihat anaknya membesar depan mata, justeru enggan terlepas momen berharga tersebut.
“Saya hargai semua momen yang ada kerana saya tidak mahu ketinggalan menyaksikan momen anak membesar.
“Saya rasa hidup saya lebih bermakna bila ada suami dan anak. Dan Alhamdulillah saya seronok melalui pengalaman seorang ibu,” katanya lagi.
SELESA NYANYI LAGU SENDIRI
Najwa tidak menafikan banyak menerima lagi daripada komposer lain yang meminta dia menyanyikan karya tersebut.
Bukan sombong atau menolak, namun dia belum bertemu karya yang benar-benar serasi dengannya.
“Ada yang hantar lagu kepada saya untuk saya nyanyikan. Tetapi, buat masa ini belum ada yang sesuai dengan saya. Jadi saya lebih selesa menyanyikan lagu yang saya hasilkan sendiri.
“Saya bermula dengan karya yang ditulis sendiri bersama kakak saya. Jadi sekiranya lagu yang dihantar tidak bersesuaian, kami pertimbangkan lagu yang kami tulis dan hasilkan sendiri.
Najwa memberitahu setiap tahun dia akan melahirkan satu karya untuk mengubat rindu peminat yang sentiasa memberi sokongan kepada kerjaya nyanyiannya.
Cumanya, lagu-lagu tersebut tidak dipromosikan dengan sebaiknya di mana-mana platform media.
“Bukanlah tenggelam, cuma saya tidak mempromosikan lagu-lagu itu. Kebanyakan lagu-lagu yang saya terbitkan adalah bersifat personal.
“Tahun lepas saya terbitkan lagu yang menceritakan tentang anak saya. Jadi saya tidak menguar-uarkan sangat kerana ia bersifat peribadi.
“Apa pun bergantung kepada lagu itu. Jika saya merasakan lagu itu perlu dipromosikan, saya akan keluarkan di radio dan televisyen,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Najwa bakal membuat kemunculan sempena Konsert Wali Band yang diadakan pada 3 Oktober di EduCity Sports Complex Stadium, Johor Bahru.










