Janganlah masuk penjara - Yasin Sulaiman - Utusan Malaysia

Janganlah masuk penjara – Yasin Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Janganlah masuk penjara, kalau boleh.”

Itu nasihat penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, 50, selepas melalui pengalaman empat tahun setengah yang disifatkannya sebagai antara fasa paling getir dan menyakitkan sepanjang hidupnya.

Yasin yang kini genap seminggu menikmati kebebasan selepas dibebaskan daripada tahanan Hospital Bahagia Ulu Kinta berkata, pengalaman menjalani hukuman dan berada di penjara bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, malah meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, dia melalui perjalanan berliku apabila ditempatkan di Penjara Sungai Buloh, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Penjara Kajang sebelum kembali semula ke hospital berkenaan.

“Tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Ini pengalaman paling teruk pernah saya lalui. Saya dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara dan kalau benda itu menjadi kenyataan, saya akan ada dalam penjara sehingga umur saya 80 tahun.

“Itu pun kalau panjang umur. Kalau tak panjang umur, mungkin meninggal dalam penjara. Jadi, Alhamdulillah, sekarang saya sudah dibebaskan,”katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pementasan teater muzikal Mansur & Liu di Istana Budaya, kelmarin.

Mengimbas kembali detik dijatuhi hukuman 30 tahun penjara, Yasin mengakui dirinya ketika itu benar-benar hilang harapan dan merasakan seolah-olah tiada lagi jalan keluar daripada kemelut yang dihadapinya.

Katanya, ketika berada di Penjara Kajang, dia banyak berdoa, menunaikan solat dan mendekatkan diri kepada Tuhan bagi menguatkan semangat untuk berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar.

“Saya lega apabila keputusan itu diumumkan. Sebab bila jatuh hukuman 30 tahun itu, saya tak dapat nak gambarkan dengan kata-kata. Saya memang hilang harapan dan tidak rasa macam benda itu akan ada penyelesaian.

“Apabila masuk Penjara Kajang, saya betul-betul banyak berdoa, saya banyakkan solat dan mendekatkan diri kepada Ilahi. Memang keadaan itu teruk. Bila dah jatuh hukuman 30 tahun, kita rasa dah tak ada jalan keluar,” ujarnya.

Malah, Yasin mengakui pernah terlintas di fikirannya bahawa lebih baik dirinya dihukum mati berbanding menghabiskan tiga dekad di sebalik jeriji besi.

“Betul, saya fikir kalau daripada 30 tahun, baik gantung saya sampai mati saja. Sebab 30 tahun nak habiskan dalam penjara ini, penjara bukan tempat yang senang.

“Pada dasarnya, bila jatuh hukuman 30 tahun itu, saya boleh rasa darah dan tekanan darah saya sangat tinggi. Saya dibawa ke bawah, ke lokap dan saya baring. Saya memang tak boleh nak kawal perasaan tertekan itu.

“Penjara adalah tempat yang teruk, sangat kotor, sangat ganas dan sangat menghina kita. Bila ada pemeriksaan keselamatan, kita dibogelkan, diketuk-ketampikan. Teruk sangat keadaan di penjara. Jadi itulah, jangan masuk penjaralah kalau boleh,” nasihatnya.

Bagaimanapun, Yasin bersyukur proses pembebasannya dilakukan mengikut prosedur dan bukan melalui laluan mudah seperti yang mungkin disangka sesetengah pihak.

Katanya, pihak Hospital Bahagia Ulu Kinta terlebih dahulu melakukan penilaian terhadap keadaan kesihatan dan kestabilannya sebelum proses pembebasan dilaksanakan.

Yasin berkata, dia amat bersyukur dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas perkenan pembebasannya yang kebetulan berlangsung seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara baru-baru ini.

Dalam pada itu, Yasin turut menjelaskan kebebasannya dari Hospital Bahagia Ulu Kinta hadir bersama beberapa syarat yang perlu dipatuhi, termasuk pengambilan ubat sepanjang hayat dan tidak lagi terbabit dengan kanabis.

“ Syarat-syarat saya untuk keluar daripada Hospital Bahagia ini ada dua syarat. Nombor satu, saya tak boleh tinggalkan ubat sehingga ke penghujung hayat dan yang keduanya, saya tak boleh terlibat dengan kanabis lagi,” katanya.

Akui Yasin lagi, dia juga kini mahu memanfaatkan kebebasan yang diberikan dengan kembali aktif dalam bidang seni. Sepanjang berada dalam tahanan, dia mendakwa menghasilkan banyak lagu selain menyiapkan sebuah autobiografi setebal kira-kira 400 muka surat.

“Banyak sangat. Saya dah buat banyak lagu. Dalam penjara itu sunyi, jadi banyak buat lagu. Saya ada terbitkan buku autobiografi, 400 muka surat pun dah buat. Jadi ada banyak lagu dan ada buku, insya-Allah,” katanya.

Menurut Yasin, autobiografi berkenaan sudah siap dan kini hanya menunggu proses pemilihan gambar sebelum diterbitkan secepat mungkin.

Menariknya, buku tersebut turut memberi fokus kepada pengalaman hidup dan kesihatan mental yang dilaluinya, dengan harapan kisah berkenaan dapat memberi kesedaran serta harapan kepada mereka yang berdepan gangguan mental.

“Autobiografi itu menceritakan kisah hidup saya. Daripada kecil, bahagian-bahagian yang tak berapa menarik itu saya ringkas-ringkaskan, tetapi fokus utama adalah kepada kesihatan mental sebab saya rasa itu benda yang elok dikongsi dengan ramai orang.

“Ramai orang yang ada bipolar dan pelbagai diagnosis lain. Bila pertama kali kena, ramai yang macam saya dulu, rasa macam tak ada harapan bila ada gangguan mental ini semua. Tapi sebenarnya tidak, ada harapan. Kalau dilakukan dengan betul, elok,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×