Mekanisme, operasi khidmat doktor udara disemak semula

Mekanisme, operasi khidmat doktor udara disemak semula

DR. Dzulkefly Ahmad bergambar bersama Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN, pegawai kanan dan perwakilan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) Ke-17 di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan semua operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ditangguhkan sementara bagi membolehkan siasatan dan semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi oleh pihak yang berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ba­gaimanapun, perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan akan terus dilaksanakan melalui kerjasama KKM dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pada masa sama, katanya, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dapat dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian.

“KKM akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyam­paian perkhidmatan FDS di Sarawak, termasuk aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampai­an perkhidmatan sedia ada.

“Penilaian ini bertujuan memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dzulkefly berkata, KKM sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan dan pendekatan lain yang selamat serta praktikal bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Jelasnya, KKM memahami kesulitan dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini.

“Walau bagaimanapun, ke­selamatan petugas dan pesa­kit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

“KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkemba­ngan terkini kepada orang awam sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Dzulkefly memberitahu, KKM masih me­nunggu laporan rasmi keputusan hasil bedah siasat terhadap lima mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya ma­sih menunggu pengesahan rasmi berhubung perkara itu, sebelum penerangan lanjut dibuat kepada umum.

“Secepat mungkin, kita dapat semua secara rasmi, Datuk Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Mahathar Abd Wahab) akan buat penerangan dan saya sendiri sedang menunggu.

“Walaupun sudah kedengaran, tapi kita belum dapat satu sifatnya yang rasmi,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Ke­sihatan ASEAN (AHMM) Ke-17 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×