PUTRAJAYA: Usaha menangani krisis perubahan iklim, memperkukuh daya saing sektor pembuatan dan pembangunan modal insan adalah antara fokus utama yang diambil kira dalam Belanjawan Selangor 2027.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu, beberapa isu berkaitan kesejahteraan rakyat termasuk peningkatan keperluan penjagaan susulan pertambahan golongan warga emas juga akan diberi tumpuan dalam belanjawan itu.
Beliau berkata, input dan pandangan berkaitan kini sedang dikumpulkan menerusi pelbagai forum dan akam menjadi panduan kerajaan negeri dalam merangka Belanjawan Selangor 2027 yang dijadual dibentangkan pada November ini.
“Daripada forum yang berlangsung tadi, kita sedikit sebanyak telah dapat mengumpul beberapa fokus baharu ataupun fokus utama kita dalam pembentangan belanjawan yang akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor, di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri juga mengambil kira maklum balas rakyat berkaitan penyampaian perkhidmatan di peringkat kerajaan tempatan dan negeri, termasuk isu kebersihan serta penyelenggaraan jalan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, isu perubahan iklim perlu dilihat sebagai satu krisis yang memerlukan tindakan bersama antara negeri dan Kerajaan Persekutuan, dan bukan sekadar fenomena bermusim.
Menurutnya, isu seperti jerebu, banjir, peningkatan paras air serta kesan cuaca kering di beberapa kawasan susulan fenomena cuaca ekstrem perlu ditangani menerusi pelan komprehensif yang melibatkan semua negeri.
“Isu alam sekitar ini merentas sempadan. Bukan hanya Selangor dan Kerajaan Persekutuan, tetapi Selangor dan Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan sebagainya.
“Ini semua isu yang patut kita tangani dan ada pelan komprehensif daripada semua negeri. Kita perlu hadapinya sebagai krisis, bukan sebagai satu fenomena,” katanya.
Ditanya sama ada peruntukan untuk alam sekitar akan ditambah dalam Belanjawan Selangor 2027, Amirudin berkata fokus utama bukan semata-mata jumlah peruntukan, sebaliknya tindakan serta kerjasama yang perlu dilaksanakan secara bersama. – UTUSAN









