KUALA LUMPUR: Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) akan bermesyuarat pukul 8.30 pagi ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan perkara itu tetapi enggan memperinci maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.
Beliau juga tidak menjawab ketika ditanya sama ada mesyuarat itu akan membincangkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
“Ya saya boleh sahkan esok (hari ini) 8.30 pagi ada mesyuarat pengampunan.
“Kita telah dipanggil dan itu sahaja setakat ini yang saya boleh berikan kepada anda semualah,” katanya ketika diminta mengesahkan mengenai Mesyuarat LPWP hari ini.
Beliau ditemui selepas melancarkan Fasa Kelapan Program Mamogram Percuma Etiqa Dengan Kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia di sini, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan LPWP dijangka bermesyuarat hari ini.
Ia untuk mempertimbangkan, antara lain permohonan Najib mendapatkan pengampunan terhadap sabitan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri itu yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
LPWP kemudiannya mengurangkan separuh tempoh hukuman penjara beliau kepada enam tahun dan kurangkan denda kepada RM50 juta. – UTUSAN










