NARATHIWAT (THAILAND): Umat Islam dilarang menggunakan keganasan atau terlibat dalam sebarang bentuk konflik di lima wilayah Selatan Thailand menerusi Fatwa Darussalam yang mengisytiharkan kawasan berkenaan sebagai ‘tanah aman’ atau Fattani Darussalam.
Fatwa yang diumumkan Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom itu meliputi Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun dengan ajaran Islam dijadikan kompas bagi membimbing semua pihak ke arah keamanan berkekalan.
Pengerusi Jawatankuasa Majlis Agama Islam Selatan Thai, Waeduramae Mammingji berkata, fatwa itu menegaskan bahawa sempadan selatan Thailand adalah kawasan di mana umat Islam boleh mengamalkan agama dan kepercayaan mereka secara bebas sepenuhnya.
“Menurut prinsip Islam, perkataan ‘Islam’ itu sendiri mencerminkan keamanan dan ketenangan.
“Oleh itu, adalah dilarang sama sekali bagi umat Islam menggunakan keganasan atau terbabit dalam sebarang bentuk konflik di tanah yang aman ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, istilah ‘Fattani’ ialah istilah Arab kuno yang digunakan untuk merujuk kepada tanah dan penduduknya, selain membawa maksud ‘mereka yang bijak’ manakala ‘Darussalam’ bermaksud ‘tanah keamanan’.
Jelas beliau, Sheikhul Islam mengisytiharkan Fattani Darussalam sebagai tanah keamanan, tanah orang berilmu, kasih sayang, perpaduan dan komitmen untuk membangunkan wilayah selatan menjadi tempat yang makmur serta damai.
Waeduramae yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Pattani berkata, perisytiharan itu bukan sahaja memupuk kerjasama antara pertubuhan agama, sekolah berasrama penuh dan kerajaan, malah membuka peluang kepada golongan belia untuk turut serta mewariskan masyarakat yang lebih baik daripada generasi ke generasi. – UTUSAN










