Dua teguran PISA 2025 buat KPM

Dua teguran PISA 2025 buat KPM

FADHLINA Sidek menyampaikan piala kepada johan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Kali Ke-51 di Universiti Multimedia, Cyberjaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kerajaan mengakui terdapat dua teguran dan amaran dari Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 khususnya berkaitan isu buli siber dan sokongan ibu bapa terhadap anak-anak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, laporan PISA 2025 terkait beberapa perkara yang perlu direfleksi segera agar pembangunan serta kemenjadian pelajar dapat diatasi.

Katanya, dua perkara penting itu ialah sokongan ibu bapa terhadap murid dan kemerosotan yang berlaku seperti diberitahu oleh Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr. Andreas Schleicher menerusi dapatan PISA 2025.

“Laporan PISA 2025 juga menyebut tentang isu buli siber yang sangat memberi kesan pada pembelajaran. Malaysia (KPM) disaran mengambil inisiatif. Ada banyak perkara perlu diangkat, kita akui ada cabaran cukup besar, laporan PISA tentang anak-anak kita. Variasi sekolah Malaysia juga semakin mengecil, antara aspek perlu diberi perhatian.

“Apapun, sekolah di Malaysia adalah tetap terbaik untuk anak-anak kita,” katanya ketika berucap sempena Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Kali Ke-51 di Universiti Multimedia, di sini hari ini.

Untuk rekod, PISA 2025 mendapati hanya 34 peratus murid melaporkan mereka berbincang setiap minggu dengan ibu bapa tentang masalah di sekolah, berbanding 46 peratus pada 2022 manakala hanya 51 peratus melaporkan perbincangan dengan ibu bapa mengenai aktiviti sekolah sekurang-kurangnya sekali seminggu (2022: 57 peratus).

PISA 2025 turut menunjukkan kadar buli siber dalam kalangan murid Malaysia lebih tinggi berbanding purata OECD, dengan lima peratus murid melaporkan mereka pernah mengalami perkara itu.

Laporan PISA 2025 kelmarin turut mencatatkan penurunan dalam pencapaian Matematik menerusi PISA 2025 dengan skor 397 mata berbanding 409 mata pada 2022.

Fadhlina berkata, penurunan itu perlu diberi perhatian serius dan tidak seharusnya dilihat sebagai perubahan dalam satu pusingan penilaian semata-mata.

Terdahulu, beliau merasmikan Pertandingan Bahas Piala Perdana Menteri Kali Ke-51 di Universiti Multimedia di sini.

Pasukan bahas dari Sekolah Menengah Sains Selangor (SMSS) muncul johan bagi kategori Bahasa Melayu manakala Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) juara bagi Bahasa Inggeris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×