PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dipersembahkan mengenai perkembangan semasa Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China.
Seri Paduka berkenan mendengar taklimat itu oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Istana Negara, hari ini.
Zambry berkata, perkara itu mencerminkan keprihatinan dan naungan Yang di-Pertuan Agong terhadap usaha memperluas pengajian serta memperkukuh kedudukan bahasa, budaya dan peradaban Melayu di persada antarabangsa.
“Semoga segala nasihat dan pandangan Seri Paduka Baginda menjadi pedoman dalam memperkasakan lagi bidang Pengajian Melayu serta memperluas jaringan ilmu antara Malaysia dengan dunia,” katanya hari ini.
Dalam hantaran berasingan, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus. – UTUSAN










