ARAU: Pas Perlis yang berdepan masalah dalaman sebelum ini semakin kukuh dan siap sedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dalam keadaan lebih kuat.
Yang Dipertua Pas Kawasan Arau, Solahudin Azmi berkata, semangat penyatuan dalam kalangan ahli dan pemimpin bertambah baik.
Beliau, Yang Dipertua Pas kawasan Kangar, Yussaine Yahya dan Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil turut mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali baru-baru ini bagi mengatur program serta melicinkan gerak kerja secara bersepadu.
Kata Pengarah Pilihan Raya Pas negeri itu, barisan kepimpinan sedia ada yang dibentuk juga mempunyai kesepakatan jitu bagi membawa kelangsungan perjuangan parti.
“Alhamdulillah, kita melihat solidariti serta persefahaman dalam kalangan kepimpinan Pas Perlis kini berada pada tahap yang sangat kukuh bagi mengemudi pentadbiran parti dan negeri.
“Fokus utama kita bersama barisan jawatankuasa ini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat secara menyeluruh, selain memastikan segala strategi dirangka dengan teliti bagi mengekalkan kemenangan menjelang PRU16 kelak,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Pas Perlis sedia menguruskan kemelut dalaman parti itu sendiri selepas lebih enam bulan berada di bawah pantauan Jawatankuasa Tadbir Sementara (JTS) diterajui oleh Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Ia sekali gus menyahut seruan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar parti itu ‘berubat sendiri’ dalam menangani kemelut Pas di Perlis.
Sebagai rekod, jawatankuasa harian badan perhubungan Pas negeri 2025-2027 diterajui Ahmad Ali selaku Pesuruhjaya dengan dibantu Yussaine serta Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Timbalan Pesuruhjaya I dan II.
Barisan kepimpinan turut diperkemaskan dengan pelantikan Sarudin Bakar sebagai Setiausaha dan Abu Harith Saidon selaku Bendahari, manakala jawatan Ketua Penerangan digalas oleh Zahid Ibrahim berserta Solahudin memegang portfolio Pengarah Pilihan Raya.
Turut melengkapkan senarai jawatankuasa utama itu ialah Ketua Dewan Ulama, Ahmad Adnan; Ketua Dewan Pemuda, Haziq Asyraf Dun dan Ketua Dewan Muslimat, Husna Hashim.-UTUSAN










