KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan bagi melindungi petugas kesihatan susulan nahas helikopter di Ulu Baram, Sarawak kelmarin yang mengorbankan petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Tuntutan itu ialah penubuhan pasukan petugas kebangsaan pelbagai disiplin bagi mengkaji keseluruhan sistem FDS; mengkaji semula elaun FDS sebanyak RM30 yang diperkenalkan sejak 1978 dan perlindungan insurans automatik untuk kemalangan diri serta perjalanan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan, keupayaan operasi dan keperluan klinikal diberikan keutamaan dalam pelaksanaan perkhidmatan berkenaan.
Katanya, pasukan petugas tersebut perlu melibatkan petugas klinikal barisan hadapan yang berpengalaman dalam operasi FDS dan pemindahan perubatan, jururawat, penolong pegawai perubatan serta pakar perubatan kecemasan.
Ia juga perlu disertai pakar keselamatan penerbangan dan pengangkutan, pihak berkuasa berkaitan serta wakil dari Sabah dan Sarawak.
“Kajian ini mesti meliputi model perkhidmatan, kesesuaian aset, penyelenggaraan, pemilihan kontraktor, protokol cuaca, keletihan petugas, peralatan kecemasan, konfigurasi klinikal, latihan keselamatan dan pelaporan insiden.
“Keputusan perolehan mesti memberikan keutamaan kepada keselamatan, keupayaan operasi dan keperluan klinikal, bukan sekadar kos atau penjimatan harga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Thirunavukarasu berkata, semua penemuan, tindakan pembetulan dan tempoh pelaksanaannya juga perlu diumumkan kepada umum.
Katanya, tragedi helikopter FDS di Long Lellang, Sarawak yang mengorbankan lima nyawa perlu menjadi titik perubahan dalam usaha melindungi petugas kesihatan ketika menjalankan tugas.
“Insiden tersebut bukan amaran pertama apabila sebuah helikopter FDS terhempas di Cameron Highlands pada 2022 sehingga mengakibatkan petugas mengalami kecederaan serius.
“Pendaratan kecemasan membabitkan operasi FDS turut dilaporkan di Sabah pada 2024 dan Sarawak pada 2025,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MMA turut menggesa kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) mengkaji semula secara menyeluruh Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 yang diperkenalkan pada 1978 dan tidak pernah berubah sehingga kini.
“Bayaran ini bukan perlindungan insurans dan tidak mampu memberikan pampasan sewajarnya bagi kematian atau kehilangan upaya kekal.
“Skim Ex-Gratia Bencana Kerja juga mesti dinilai bagi memastikan perlindungan yang mencukupi dan adil diberikan kepada mereka yang menjalankan tugas berisiko tinggi, tanpa mengira kategori perkhidmatan,” katanya.
Tambah beliau, kenaikan elaun semata-mata tidak akan menjadikan sesuatu misi yang tidak selamat itu selamat.
Sebaliknya, perlindungan insurans, latihan sewajarnya, pengangkutan selamat dan akauntabiliti majikan perlu menjadi sebahagian daripada kerangka perlindungan yang menyeluruh.
Pada masa sama, kerajaan juga perlu menyediakan perlindungan insurans kemalangan diri dan perjalanan secara automatik kepada semua petugas kesihatan yang menjalankan tugas rasmi melalui udara, darat atau laut.
Katanya, perlindungan tersebut mesti merangkumi petugas yang menyertai misi bantuan bencana, kemanusiaan dan ihsan serta diberikan tanpa mengira sama ada mereka berjawatan tetap, kontrak atau bekerja melalui pengendali yang dilantik.
“Petugas kesihatan yang dikerahkan bagi misi dalam negara didapati tidak menerima perlindungan insurans perjalanan dan kemalangan diri khusus yang setara dengan perlindungan bagi pegawai awam yang menjalankan tugas rasmi di luar negara.
“Kelompangan dasar ini mesti ditangani dengan segera.
“Tiada petugas kesihatan seharusnya dihantar melalui udara, darat atau laut tanpa latihan sewajarnya, jaminan keselamatan yang telus serta perlindungan untuk keluarga yang menanti kepulangan mereka,” katanya. – UTUSAN









