KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Amira Othman menegaskan dia dan suaminya, Fattah Amin, belum bersedia mendedahkan wajah anak lelaki mereka, Muhammad Jarir Umar, kepada umum buat masa ini.
Amira atau Nadia Amira Othman, 33, berkata, mereka memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai Jarir yang masih kecil, bukannya mahu menyembunyikannya, dan akan berkongsi apabila tiba masa yang sesuai.
“Sebenarnya kami tidak berniat menyembunyikan anak. Cuma di usia sekarang, kami tidak mahu berkongsi lebih-lebih sangat.
“InsyaAllah apabila sampai waktunya, kami akan kongsikan kepada peminat. Biarlah dia membesar seperti kanak-kanak biasa dulu,” katanya.
Amira berkongsi perkara demikian ketika ditemui semasa sidang media Anugerah Industri Muzik Ke-25 (AIM25), di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, dia mahu Jarir melalui zaman kanak-kanaknya tanpa dibebani perhatian yang diterima sebagai anak kepada figura dikenali ramai.
“Pada saya, biarlah dia melalui kehidupan kanak-kanak seperti kanak-kanak lain. Maklumlah mak dan ayah dia, ada yang membenci.
“Saya harap jangan libatkan anak. Saya hanya berharap anak saya dilindungi daripada perkara yang tidak baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Amira berkata, urusan menjaga Jarir dipikul bersama Fattah walaupun suaminya kini sedang menjalani penggambaran drama selama hampir tiga bulan.
“Fattah memang sedang menjalani penggambaran, tetapi setiap kali ada waktu terluang dia akan balik. Dia memang banyak membantu saya.
“Kalau saya keluar bekerja, pengasuh akan mengambil alih. Sekurang-kurangnya saya rasa Jarir sentiasa terjaga,” katanya.
Amira turut mengakui mereka tidak mampu mengawal jika ada pihak memuat naik gambar Jarir tetapi percaya peminat memahami batas privasi yang perlu dihormati.
“Kalau suatu hari nanti orang lain yang memuat naik gambar, kami tidak boleh mengawal semuanya. Tetapi saya yakin peminat faham soal privasi.
“Mereka tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Untuk rekod, Fattah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 14 September tahun lalu di Sepang, Selangor dan Amira selamat melahirkan cahaya mata pertamanya pada 22 Jun lepas.










