Mampukah penyatuan Melayu berhasil selepas MN gagal?

Mampukah penyatuan Melayu berhasil selepas MN gagal?

Penyatuan Melayu menjadi agenda penting mahu dibawa UMNO dalam usaha membina semula kekuatan parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

Usaha penyatuan ummah yang pernah diusahakan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasio­nal (MN) sebelum ini menemui kegagalan dan tidak bertahan lama.

Namun, kegagalan itu tidak bermakna agenda penyatuan Melayu telah terkubur sepenuhnya. Sebaliknya ia kembali mendapat perhatian apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan terbuka terhadap usaha menyatukan kekuatan politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Kali ini, UMNO yakin dengan niat Pas untuk melakukan penya­tuan Melayu dengan memberi isyarat bahawa pintu perbinca­ngan antara dua parti itu masih belum tertutup meskipun berada dalam blok politik berbeza.

Apa yang penting buat UMNO adalah kehendak rakyat yang menginginkan penyatuan Mela­yu, sekali gus parti-parti Melayu perlu mengambil kesempatan dan membawa naratif tersebut bagi memastikan kemenangan pada PRU akan datang.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid meletakkan satu syarat iaitu soal keikhlasan. Baginya, keikhlasan tidak hanya diterjemahkan me­lalui kenyataan atau slogan politik, sebaliknya perlu dibuktikan dalam bentuk tindakan.

Persoalannya, mampukah­ UM­NO dan Pas sekali lagi menca­ri titik pertemuan selepas kegagalan MN atau istilah penya­tuan ummah akan terus menjadi cita-cita yang sukar diterjemahkan dalam realiti politik?

Daripada keseluruhan pendirian dizahirkan Ahmad Zahid, jelas penyatuan Melayu menjadi antara agenda penting mahu dibawa UMNO dalam usaha membina semula kekuatan parti dan bangsa Melayu.

Namun, pendekatan kali ini dilihat berbeza. Penyatuan tidak semestinya bermaksud semua parti Melayu perlu berada dalam satu gabungan atau membentuk sebuah pakatan politik seperti MN.

Sebaliknya, UMNO dilihat cu­ba membawa gagasan Lebih luas iaitu membina kesepakatan da­lam kalangan masyarakat Melayu merentasi sempadan parti, termasuk melibatkan golongan akademik, profesional, ulama dan pemimpin politik.

Ini dapat dilihat menerusi usaha parti itu mengadakan Musyawarah Nasional yang menghimpunkan pelbagai ke­lompok untuk membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan negara.

Pendekatan itu menunjukkan UMNO menyedari bahawa masalah perpecahan Melayu tidak boleh diselesaikan hanya melalui rundingan antara pre­siden parti.

Sebaliknya, ia memerlukan pembinaan kesefahaman yang lebih menyeluruh terhadap isu yang menjadi kebimbangan masyarakat Melayu.

Kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan proses tersebut sebagai usaha melakukan ‘kristalisasi’ terhadap sesuatu isu sehingga mencapai tahap yang jelas atau crystal clear.

Dalam erti kata lain, perbezaan pandangan perlu diraikan, tetapi akhirnya perlu ada titik persamaan yang boleh dijadikan asas untuk bergerak ke hadapan.

Apa sahaja perancangan secara amnya boleh dicapai, asalkan tiada ‘gunting dalam lipatan’. Jika benar kegagalan MN menjadi ibrah maka formula baharu penyatuan Melayu selepas ini perlu dibina atas satu perkara yang paling penting iaitu keikhlasan yang diterjemahkan melalui tindakan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×