KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan akan kekal sebagai parti pertengahan yang mengamalkan pendekatan sederhana dan tidak akan condong kepada ideologi kiri atau kanan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendirian itu menjadi pegangan parti sejak sekian lama dalam mengurus dan mentadbir negara sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat.
“Penegasan saya ialah, UMNO akan selamanya ‘centrist’. Ideologi kita ialah ‘sentrisme’.
“Sekali lagi saya ulang, UMNO adalah golongan dan kelompok tengah dan akan selamanya menyusuri jalan pertengahan.
“Kita tidak akan condong ke kiri atau ke kanan. Iltizam kita ialah mengimbangi antara idea dasar kiri dan kanan, sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat,” katanya ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2026 di sini, hari ini.
Menurut Mohamad, spektrum pendirian UMNO jelas dan telah diuji selama berpuluh-puluh tahun menerusi sikap, dasar, pendirian serta keutamaan yang sederhana dalam mentadbir negara.
Katanya, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan UMNO perlu menerima pendekatandan pendirian parti itu.
“Anda tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal anda ke atas UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bangsa Melayu akan terus menjadi bangsa keindukan yang menyediakan ruang dan peluang kepada semua.
“Kami akan memastikan tanah air ini adalah tanah air untuk semua, makmur dan diuruskan dengan teliti, selari dengan apa yang terpasak dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kepada masyarakat bukan Melayu serta Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak bahawa UMNO berpegang kepada ikrar untuk mewujudkan Malaysia yang adil dan bersatu padu.
“Politik Melayu akan kami uruskan secara matang dan sama sekali tidak akan menjadi beban dan ancaman, mahupun penafian hak dan kepentingan kalian.
“Insya-Allah, Malaysia yang kita cita-citakan ialah Malaysia yang aman sentosa dan saling melengkapi antara semua kaum jua,” katanya.-UTUSAN








