Kebakaran hutan Indonesia hasilkan pelepasan gas tertinggi di dunia

Kebakaran hutan Indonesia hasilkan pelepasan gas tertinggi di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia berdepan peningkatan mendadak pelepasan gas akibat kebakaran hutan yang melanda kawasan hutan dan tanah gambut yang kering di pulau Borneo dan Sumatera, dengan bacaan karbon dioksida kini berada pada tahap tertinggi di dunia.

Menurut portal pemantau Fire Emissions Watch yang dibangunkan oleh perkhidmatan pemantauan iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU, pelepasan gas daripada kebakaran di Indonesia antara 1 hingga 7 September mencecah 19.7 juta tan metrik, mengatasi Russia pada minggu ini dan menyumbang lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan dunia.

Indonesia merupakan antara negara yang paling kerap dilanda kebakaran hutan di dunia. Namun, fenomena cuaca Super El Nino yang menyebabkan suhu meningkat dan kemarau semakin teruk kini menyaksikan negara itu berdepan musim kebakaran hutan paling buruk dalam tempoh 11 tahun, menurut pihak berkuasa.

“Kami memang menjangkakan berlaku beberapa kebakaran di seluruh rantau ini pada waktu sebegini, tetapi fenomena El Nino jelas menyebabkan peningkatan besar terhadap kejadian tersebut.

“Keadaannya jauh lebih kering dan panas. Apabila kebakaran tercetus, api merebak dengan jauh lebih dahsyat,” kata Saintis Kanan Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus, Mark Parrington dipetik Reuters.

Pelepasan tertinggi direkodkan di Kalimantan, iaitu bahagian Borneo yang terletak di Indonesia, serta kawasan timur Sumatera.

Jumlah pelepasan gas itu 273 peratus lebih tinggi berbanding purata bagi tempoh tersebut, namun masih lebih rendah daripada 21.7 juta tan yang dilepaskan dalam minggu sama pada 2015, ketika Indonesia turut berdepan keadaan El Nino yang sama sengit.

Antara kawasan paling teruk terjejas ialah bandar Pontianak di Kalimantan Barat, dengan indeks kualiti udara mencecah 394 pada Rabu, menurut firma pemantauan kualiti udara Switzerland, IQAir. Bacaan 300 dianggap berada pada tahap berbahaya.

Dari Januari hingga Julai tahun ini, kebakaran memusnahkan kira-kira 202,000 hektar kawasan di Indonesia, iaitu sekitar satu pertiga daripada keluasan yang terbakar dalam tempoh sama pada 2015.

Jumlah titik panas yang direkodkan antara 1 Ogos hingga 8 September mencecah 13,443, berbanding 9,454 dalam tempoh sama pada 2015, menurut platform pemantauan hutan Indonesia, Sipongi, berdasarkan data satelit Terra dan Aqua milik NASA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×