HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (Hikam) mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mengaitkan perjuangan melalui parti Islam itu dengan ganjaran syurga.
Persoalan keselamatan seseorang di akhirat merupakan perkara akidah dan alam ghaib yang ketentuannya adalah hak mutlak Allah SWT, bukan sesuatu yang sewajarnya dikaitkan secara pasti dengan keanggotaan, sokongan atau perjuangan melalui mana-mana parti politik.
Keanggotaan atau sokongan kepada sesebuah parti tidak dengan sendirinya menjadi jaminan seseorang memperoleh syurga. Demikian juga perbezaan pilihan politik tidak menentukan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan yang diwartakan pada 2001, berhubung dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada pihak tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam dilayakkan ke syurga serta kenyataan bahawa orang tertentu akan ditempatkan di neraka.
Fatwa tersebut menegaskan: “Ketentuan syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT.”
Fatwa berkenaan turut menetapkan dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam dilayakkan ke syurga atau neraka adalah salah menurut ajaran Islam.
Tinta Mufti Bil. 128/2026, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, bertarikh 5 September 2026, bertajuk Syurga Bukan Milik Eksklusif Mana-Mana Kumpulan menegaskan bahawa syurga bukan hak eksklusif mana-mana kumpulan. Ganjaran Allah berkait dengan iman, tauhid dan amal soleh seseorang, bukannya semata-mata kesetiaan kepada kelompok atau tokoh tertentu.
Kedua-dua rujukan ini memberikan pedoman bahawa persoalan syurga dan neraka hendaklah dibicarakan menurut neraca wahyu dan akidah, bukan dijadikan instrumen persaingan kepartian.
Persaingan politik sewajarnya menjawab persoalan:
– Siapakah yang lebih amanah?
– Siapakah yang lebih adil?
– Siapakah yang lebih berintegriti?
– Siapakah yang lebih berkeupayaan?
– Siapakah yang lebih mampu membawa maslahat kepada rakyat dan negara?
Bukannya siapa yang akan masuk syurga atau neraka kerana pilihan politiknya.
Perbezaan politik tidak seharusnya membawa kepada budaya mencela, menyesatkan, memfitnah, memperlekeh atau menghukum keimanan pihak yang berbeza.
Parti dan pemimpin yang membawa nama Islam mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk memastikan bahasa serta amalan politik mencerminkan rahmah, hikmah, keadilan dan akhlak Islam.
Sehubungan itu, Hikam menyeru semua pemimpin dan parti politik supaya:
– Mengelakkan penggunaan syurga dan neraka sebagai retorik untuk mendapatkan sokongan kepartian.
– Tidak mengaitkan keselamatan akhirat seseorang dengan keanggotaan atau sokongan kepada mana-mana parti atau kelompok.
– Memelihara adab al-ikhtilaf dalam mengurus perbezaan politik.
– Mengutamakan hujah, fakta, integriti, dasar dan prestasi dalam mendapatkan kepercayaan rakyat.
– Mengembalikan politik kepada tujuan besarnya sebagai khidmat kepada manusia, usaha menegakkan keadilan dan amanah di hadapan Allah.
Politik yang benar-benar dipandu oleh Islam seharusnya menjadikan manusia lebih beradab, masyarakat lebih bersatu dan negara lebih sejahtera.
Kita tidak perlu menentukan siapa ke syurga atau neraka dalam gelanggang persaingan politik.
Tanggungjawab kita ialah menegakkan kebenaran, berlaku adil, memelihara maruah manusia dan membina kemaslahatan.
Politik adalah medan amanah dan ijtihad manusia. Syurga dan neraka adalah ketentuan. Penghakiman terakhir adalah milik-Nya. –UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)










