PUTRAJAYA: Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 10 hingga 16 September naik sebanyak 25 sen iaitu daripada RM4.67 kepada RM4.92 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, harga RON95 juga naik sebanyak 25 sen daripada RM3.77 kepada kepada RM4.02 seliter.
RON97 juga naik 25 sen daripada RM4.25 kepada RM4.50 seliter.
Katanya, harga minyak mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM).
Jelasnya, peningkatan itu susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.
“Harga minyak mentah Brent meningkat sepanjang tempoh pengiraan APM sebelum
mencecah AS$97.31 setong pada Isnin.
“Premium risiko geopolitik terhadap bekalan minyak dunia turut meningkat susulan serangan balas berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Pada masa sama, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat dan gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat serta serangan berterusan loji penapisan Rusia telah mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Kementerian Kewangan, harga diesel di pasaran antarabangsa turut meningkat lebih
pantas berbanding minyak mentah berikutan kekangan kapasiti penapisan dan inventori yang semakin menyusut.
“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.
“Sekiranya keadaan ini berpanjangan selain inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat, ia boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” jelasnya.
Susulan itu, katanya, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar Budi Madani bagi pengguna layak. – UTUSAN










