MOSCOW: Russia mendakwa menembak jatuh 596 dron Ukraine dalam serangan sepanjang malam, mengorbankan empat nyawa termasuk seorang kanak-kanak di wilayah Krasnodar, selatan negara itu.
Gabenor Krasnodar, Veniamin Kondratyev berkata, Novorossiysk menjadi kawasan paling teruk terjejas dalam serangan berkenaan.
“Pasukan tentera kami berjaya menangkis serangan besar-besaran dron musuh terhadap wilayah ini sepanjang malam, dengan Novorossiysk menjadi kawasan paling teruk terjejas,” katanya menerusi Telegram.
Kementerian Pertahanan Russia mengesahkan tenteranya menembak jatuh 596 dron Ukraine dalam serangan berkenaan semalam.
Serangan itu berlaku sehari selepas Presiden Russia, Vladimir Putin mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi membincangkan usaha menamatkan konflik di Ukraine.
Washington terus menggesa Russia dan Ukraine mengadakan rundingan secara bersemuka bagi menamatkan perang berkenaan.
Kyiv berkata, rundingan itu boleh diadakan bulan ini, namun Kremlin menyifatkan masih terlalu awal untuk membincangkan lokasi dan tarikh pertemuan.
Sebelum ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengarahkan tenteranya meningkatkan serangan dron jarak jauh ke atas Russia, lebih tiga kali ganda daripada anggaran semasa sebanyak 300 dron.
“Perlu ada lebih banyak lagi. Ada matlamat yang jelas dan kita akan melaksanakan tugas ini,” katanya dalam ucapan di Kyiv akhir bulan lalu.- AFP










