Jerebu antara kebimbangan utama AMFF 2026 - Utusan Malaysia

Jerebu antara kebimbangan utama AMFF 2026

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Situasi jerebu yang melanda ketika ini menjadi antara kebimbangan utama penganjur Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 yang dijadual berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, bermula 11 September ini.

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal berkata, isu berkenaan turut dibangkitkan vendor yang bakal menyertai festival itu memandangkan sebahagian besar aktiviti dijalankan di kawasan terbuka.

Bagaimanapun, katanya, pihak penganjur akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia mendapatkan pandangan serta cadangan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sekiranya tahap kualiti udara menjadi tidak sihat.

“Perkara ini memang diutarakan oleh vendor-vendor kami juga. Sebagai penganjur, keperluan kami banyak bergantung kepada pandangan rakan strategik kami, MOTAC.

“Saya percaya MOTAC akan memberikan cadangan bagaimana kita perlu menyesuaikan keadaan sekiranya masalah jerebu berterusan,” katanya.

Screenshot

Beliau berkata demikian ketika mengulas persiapan AMFF 2026 yang akan berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa, sempena Festival Budaya Malaysia dan sambutan Hari Malaysia.

Menurut Rayme, antara aspek yang akan diberi perhatian ialah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sepanjang tempoh penganjuran festival berkenaan.

“Contohnya kalau tiba-tiba bacaan IPU meningkat, mungkin akan ada nasihat tertentu yang perlu kita ikut.

“Kebimbangan itu memang ada, tetapi kita mendoakan usaha kerajaan termasuk langkah pembenihan awan dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu dan semoga situasi semakin baik,” katanya.

Dalam pada itu, Rayme menegaskan aspek kesihatan pengunjung dan peniaga akan kekal menjadi keutamaan sekiranya keadaan kualiti udara bertambah buruk.

“Kalau ada arahan bahawa kualiti udara tidak sesuai dan kita dinasihatkan untuk tutup atau hentikan sementara, kita akan pertimbangkan perkara itu.

“Kita tidak mahu menjejaskan kesihatan peniaga. Walaupun kita berniaga, kita tetap perlu mengambil kira sudut lain termasuk soal kesihatan,” katanya.

AMFF 2026 bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’ dan dianjurkan Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama MOTAC.

Festival berkenaan menghimpunkan pelbagai segmen termasuk gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta aktiviti komuniti.

Rayme berkata, edisi kali ini menampilkan lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen perniagaan, dengan makanan kekal sebagai tunjang utama festival.

“Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat ‘Kita Malaysia’ sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia,” katanya.

Antara tarikan utama ialah Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert sempena Ambang Hari Malaysia, sebelum disusuli SimplyFit Zumba Malaysia Day pada 16 September.

AMFF 2026 turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day.

Tahun lalu, AMFF 2025 yang berlangsung di pekarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil merekodkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung, selain menampilkan kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi acara Fun Run dan podcast.

Selepas penganjuran di Taman Tasik Titiwangsa, AMFF turut akan diteruskan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang dari 9 hingga 11 Oktober ini sempena MySihat Expo 2026.

Edisi di MAEPS itu dijangka menghimpunkan kira-kira 600 vendor meliputi sektor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×