KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mula menyerlahkan ‘warna sebenar’ gabungan itu yang didakwa beberapa kali meremehkan dan mempertikai institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan berkenaan jelas bertentangan dengan prinsip serta syarat yang telah dipersetujui bersama dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, UMNO kesal dengan kenyataan Majlis Setiausaha PH yang seolah-olah mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
“Kuasa pengampunan ini adalah hak prerogatif baginda yang termaktub jelas dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan serta tidak sewajarnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Tindakan terkini ini secara tidak langsung menyerlahkan ‘warna sebenar’ PH yang sudah beberapa kali meremeh dan mempertikai Institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik mereka.
“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO kekal teguh mendukung Institusi Yang di-Pertuan Agong serta kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada baginda.
Katanya, sebarang usaha untuk menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi berkenaan merupakan tindakan yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang usaha bagi menekan atau menanam prasangka buruk secara langsung atau tidak langsung terhadap institusi ini adalah satu bentuk pengkhianatan kepada Perlembagaan dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut sebarang keputusan tertentu.
Sebaliknya, katanya, apa juga keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak.
“Berbeza dengan PH, UMNO tidak berhasrat mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau menuntut apa-apa keputusan tertentu.
“Apa jua keputusan yang dibuat melalui proses yang sah hendaklah dihormati oleh semua pihak,” katanya. –UTUSAN










