KUALA LUMPUR: Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid berkata, perkara menyentuh takhta dan kedaulatan Raja Pemerintah di Negeri Sembilan tidak boleh ditentukan melalui sidang media, dakwaan lisan atau tafsiran sebelah pihak.
Katanya, segala hak dan remedi Raja Pemerintah serta pentadbiran Luak Rembau termasuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya adalah dipelihara sepenuhnya.
Sehubungan itu beliau menyeru seluruh anak-anak Luak Rembau dan rakyat Negeri Sembilan supaya terus menghormati undang-undang, adat dan institusi Diraja Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan media menerusi hantaran Facebook rasmi, semalam.
Kelmarin, berlangsung sidang media dan berlegar kenyataan didakwa sebagai Surat Cara Proklamasi menyentuh kedudukan serta penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Hassan berkata, Luak Rembau di bawah pentadbirannya kekal menjunjung, mengiktiraf dan berdiri teguh di belakang Tuanku Muhriz sambil menegaskan kedudukan baginda di atas takhta Negeri Sembilan adalah sah, sempurna dan tidak tergugat oleh mana-mana dokumen, sidang media atau dakwaan sebelah pihak.
“Tidak ada sebarang keraguan dan tafsiran, itulah pendirian Luak Rembau. Kami menegaskan dokumen berkenaan cacat pada asasnya, tidak berkuat kuasa dan tidak boleh dijadikan sandaran.
“Persoalan mengenai proses, kapasiti dan pematuhan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UTKNS) 1959 masih tidak dipenuhi,” katanya.
Hassan berkata, setakat pengetahuannya, baginda tidak pernah melalui proses penyiasatan, dikemukakan pertuduhan secara formal atau diberikan ruang untuk menjawab dan mempertahankan kedudukan baginda.
Katanya, Luak Rembau menolak sekeras-kerasnya sebarang representasi oleh Abdul Rahim Yasin kerana tidak mempunyai mandat, kapasiti atau mewakili Luak Rembau. Abdul Rahim sebelum ini dimasyhurkan sebagai Undang Luak Rembau tetapi sudah digugurkan.
“Pentadbiran kami mengambil maklum perintah mahkamah berhubung status quo perjalanan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta keputusan pengguguran Undang terdahulu dan pengesahan penyandang Undang baharu.
“Apa-apa tindakan dan persetujuan beliau atas nama Undang Luak Rembau tidak sah dan tidak mengikat Luak Rembau,” katanya.
Sementara itu, menerusi kenyataan media berasingan, Kepala Adat Luak Jelebu, Ismail Mohd Zin berkata, proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di tandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos 2026 dan dibacakan bekas Undang Luak Jelebu, Maarof Mad Rashad adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan serta tidak mengikut syarat UTKNS 1959.
Katanya, ini kerana Maarof bukan lagi Undang Luak Jelebu sah kerana sudah dipecat Pada 31 Mei 2023, sekali gus segala tindakan dan perbuatan beliau dari 31 Mei 2023 tidak lagi terpakai dan tidak sah.
“Justeru proklamasi dibacakan Maarof tidak memberi kesan undang-undang kepada Tuanku Muhriz selaku Raja Pemerintah Tertinggi Negeri Sembilan yang sah, sekali gus baginda boleh menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Besar menurut UTKNS 1959,” katanya.










