ASEAN berdepan cabaran jurang digital - Utusan Malaysia

ASEAN berdepan cabaran jurang digital

JULIAN Gorman (kanan) bersama Naib Presiden Eksekutif Mastercard, Matthew Driver; Menteri Ekonomi dan Masyarakat Digital Thailand, Chaichanok Chidchob; Pengarah Kanan Google, David Weller dan Pengasas bersama Circles Group, Rameez Ansar ketika sesi bergambar pada persidangan M360 ASEAN 2026 di Grand Hyatt Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN berdepan cabaran besar untuk memastikan manfaat ekonomi digital dapat dinikmati secara menyeluruh apabila masih wujud jurang penggunaan teknologi dalam kalangan masyarakat di rantau ini.

Ketua Asia Pasifik Ketua Asia Pasifik bagi Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA), Julian Gorman berkata, pembangunan infrastruktur digital semata-mata tidak mencukupi sekiranya sebahagian masyarakat masih berdepan kekangan untuk memiliki peranti, mendapatkan akses perkhidmatan atau menggunakan teknologi secara optimum.

Menurutnya, aspek kemampuan dan akses perlu diberi perhatian supaya perkembangan ekonomi digital ASEAN tidak hanya memberi manfaat kepada kelompok masyarakat tertentu.

“Fokus besar adalah bagaimana kita menutup jurang penggunaan. Infrastruktur mudah alih tidak memberi kesan sepenuhnya jika ia tidak disertai penggunaan.

“Masih ada sebahagian masyarakat yang tidak menggunakan peranti mudah alih. Amat penting bagi kita untuk membantu mereka dengan menghapuskan halangan seperti isu kemampuan dan akses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan ekonomi digital ASEAN yang semakin pesat serta cabaran memastikan transformasi digital rantau itu bersifat inklusif pada M360 ASEAN, di sini semalam.

Menurut Gorman, ASEAN mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara kuasa utama ekonomi digital dunia berikutan pertumbuhan pesat sektor berkenaan, selain peningkatan pelaburan dan penggunaan teknologi.

“ASEAN mempunyai profil yang sangat penting bagi ekonomi digital di seluruh dunia.

“Ini merupakan ekonomi yang berkembang dengan cepat, mempunyai kerajaan dan penduduk yang muda serta ekosistem digital yang menarik,” katanya.

Gorman berkata, jurang digital kini bukan lagi hanya berkaitan liputan atau kewujudan infrastruktur, sebaliknya turut melibatkan kemampuan masyarakat untuk menggunakan kemudahan tersebut.

“Peningkatan penggunaan teknologi digital penting kerana ia bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah membuka akses kepada pendidikan, perkhidmatan serta peluang ekonomi yang lebih luas.

“Masyarakat dan perusahaan yang mempunyai akses serta keupayaan menggunakan teknologi digital berpeluang membangunkan aktiviti ekonomi masing-masing, sekali gus meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital.

“Jika kita mahu ekonomi digital berkembang, kita perlu memastikan lebih ramai orang dapat mengambil bahagian dan menggunakan teknologi yang tersedia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×