PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2026, meneruskan momentum positif dalam sektor pembuatan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pertumbuhan IPP pada bulan itu didorong terutamanya oleh sektor pembuatan dan elektrik yang masing-masing meningkat 6.4 peratus dan 5.0 peratus.
“Walau bagaimanapun, sektor Perlombongan merosot sebanyak 3.2 peratus pada bulan ini.
“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP menurun 2.0 peratus, berbanding positif 5.5 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
DOSM berkata, industri berorientasikan eksport kekal sebagai pemacu utama dalam pengeluaran sektor pembuatan pada Julai 2026 merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus selepas mencatatkan kenaikan 7.6 peratus pada bulan sebelumnya.
“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.0 peratus.
“Selain itu, pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. turut merekodkan pertumbuhan positif 14.6 peratus.
“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport merosot 3.1 peratus berbanding peningkatan 10.7 peratus pada Jun 2026,” katanya.
Sementara itu, industri berorientasikan domestik meningkat 5.8 peratus pada Julai 2026, diikuti kenaikan 6.4 peratus yang dicatatkan pada Jun 2026.
“Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh peningkatan dalam pembuatan logam asas dan pembuatan produk prosesan makanan, yang masing-masing meningkat 10.1 peratusdan 7.2 peratus.
“Berbanding bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik mencatatkan peningkatan marginal 0.4 peratus berbanding positif 1.2 peratus yang dicatatkan pada Jun 2026.
“Pertumbuhan output sektor perlombongan pula merosot 3.2 peratus pada Julai 2026 dipengaruhi oleh kejatuhan berterusan dalam pengeluaran minyak mentah dan kondensat sebanyak negatif 13.1 peratus,” jelasnya.
Selain itu, katanya, pengeluaran Gas Asli merekodkan pertumbuhan lebih rendah 3.6 peratus berbanding 7.4 peratus pada bulan lepas.
“Pada asas bulanan, indeks perlombongan menyusut 4.1 peratus selepas mengalami pertumbuhan negatif 0.3 peratus pada bulan sebelumnya.
“Sementara itu, penjanaan Elektrik mencatatkan 5.0 peratus. Perbandingan bulan ke bulan, indeks Elektrik meningkat 3.8 peratus,” ujarnya.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun 2026, IPP meningkat sebanyak 5.7 peratus berbanding 2.3 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya dipengaruhi oleh indeks perlombongan (2.0 peratus), indeks pembuatan (6.5 peratus) dan indeks elektrik (6.1 peratus). – UTUSAN










