Beban tugas guru: Sudah tiba masanya penyelesaian menyeluruh dilakukan - Utusan Malaysia

Beban tugas guru: Sudah tiba masanya penyelesaian menyeluruh dilakukan

ISU beban tugas guru berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian yang benar-benar menyeluruh. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESATUAN  Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memastikan guru kembali fokus kepada tugas utama mendidik.

Isu beban tugas guru bukan perkara baharu, malah telah berlarutan sekian lama tanpa penyelesaian yang benar-benar menyeluruh.

Walaupun KPM telah melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan beban tugas guru, realitinya masih terdapat pelbagai tugasan bukan akademik yang terus membebankan warga pendidik.

KONGRES berpandangan bahawa usaha mengurangkan beban tugas guru perlu dilaksanakan secara lebih tegas, tersusun dan berterusan supaya guru dapat kembali memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas hakiki, khususnya pengajaran, pembelajaran, pentaksiran serta pembangunan sahsiah murid.

Pengumuman mengenai pemansuhan program berimpak rendah dan usaha mengehadkan tugasan bukan akademik merupakan langkah yang baik, namun keberkesanannya perlu dilihat berdasarkan perubahan sebenar yang dirasai guru di sekolah.

KONGRES juga mencadangkan supaya diwujudkan prinsip ‘satu masuk, satu keluar’,  sekiranya tugasan baharu diperkenalkan, tugasan sedia ada yang tidak lagi relevan perlu digugurkan.

Pada masa yang sama, setiap arahan baharu yang melibatkan guru perlu diteliti dari segi impaknya terhadap masa pengajaran dan pembelajaran.

KONGRES memahami setiap dasar dan program yang diperkenalkan KPM mempunyai matlamat untuk memperkukuh kualiti pendidikan negara.

Namun, pada masa sama, adalah penting untuk memastikan pelaksana di peringkat sekolah mempunyai ruang dan masa yang mencukupi untuk melaksanakan tugas utama mereka bersama murid.

KONGRES percaya penyelesaian sebenar bukan sekadar mengurangkan bilangan program, tetapi mengubah budaya kerja dan sistem penyampaian pendidikan supaya guru tidak terus menjadi pihak yang menanggung setiap pertambahan tugasan.

Jika keadaan ini tidak ditangani secara menyeluruh, hasrat untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara akan terus berhadapan dengan kekangan yang sama.

Dalam hal ini, KONGRES berharap suara dan pandangan guru di lapangan dapat terus diberi perhatian dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar.

Kita percaya KPM dan KONGRES mempunyai matlamat yang sama iaitu memastikan guru dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan murid menerima pendidikan yang berkualiti.

KONGRES menyeru KPM supaya mengambil tindakan segera dan menyeluruh.

Jangan sampai usaha mengurangkan beban tugas guru hanya cantik pada dasar dan kenyataan, tetapi berbeza realitinya di sekolah.

Kurangkan beban guru bukan dengan menggantikan kerja lama dengan kerja baharu.

Kurangkan beban guru bermakna mengembalikan masa, tenaga dan fokus guru kepada perkara yang paling utama iaitu mendidik anak bangsa.

KONGRES sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan memberikan pandangan secara konstruktif kepada KPM.

Apa yang diharapkan ialah setiap usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan secara bersama, dengan mengambil kira realiti dan keperluan di sekolah.

KONGRES percaya melalui komunikasi, persefahaman dan kerjasama yang berterusan antara KPM dan KONGRES, kita mampu mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni, guru yang lebih sejahtera dan akhirnya pendidikan yang lebih berkualiti untuk anak-anak Malaysia.-UTUSAN

MOHAMAD ZAPAWI MAMAT

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×