HONG KONG: Pemimpin pasca-kolonial pertama Hong Kong, Tung Chee-hwa meninggal dunia pada usia 89 tahun, umum pejabat beliau pada Rabu.
Bekas taikun perkapalan itu dipilih sendiri oleh pihak Beijing untuk menerajui bekas jajahan Britain itu susulan penyerahannya kembali kepada pemerintahan China pada tahun 1997, namun beliau mengharungi tempoh pentadbiran yang bergelora sebelum meletakkan jawatan pada 2005.
Chee-hwa meninggal dunia dengan tenang di sisi ahli keluarga tercinta pada Selasa, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat beliau.
“Chee-hwa mendedikasikan seluruh hidupnya dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada negara dan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong.
“Sumbangan beliau yang dilandasi integriti, belas kasihan dan maruah akan sentiasa dikenang,” menurut kenyataan itu lagi.
Dikenali sebagai peminat kelab bola sepak Liverpool dan berambut pendek kelabu yang kemas, beliau dilahirkan di Shanghai pada 29 Mei 1937, daripada salah sebuah keluarga dinasti perkapalan terkaya di China.
Keluarga beliau berpindah ke Hong Kong pada 1947, menurut biografi rasmi di laman web kerajaan.
Beliau menamatkan pengajian dari Universiti Liverpool dengan ijazah dalam bidang kejuruteraan marin pada 1960 dan bekerja di Amerika Syarikat (AS) sebelum kembali ke Hong Kong untuk menyertai perniagaan keluarga pada 1969.
Pada 1985, Chee-hwa menyertai jawatankuasa bagi membantu penggubalan Undang-Undang Asas, iaitu perlembagaan mini Hong Kong yang mentadbir bekas jajahan British itu sejak diserahkan kepada China pada 1997.
Sebagai seorang penjawat awam, Chee-hwa secara senyap meniti laluan dalam arena politik di kedua-dua belah sempadan, menyertai badan penasihat politik Beijing serta Kabinet Hong Kong.
Ramai pihak percaya beliau enggan menerima jawatan pemimpin tersebut kerana kaitannya yang rapat dengan Beijing, namun Chee-hwa tetap mengharungi tempoh lapan tahun pentadbiran yang penuh gelora sebagai ketua bandar raya yang terjejas akibat kesilapan dasar serta keresahan terhadap campur tangan pihak China.
Tahun-tahun awal kepimpinan beliau berdepan dengan krisis kewangan Asia, kadar pengangguran yang mencatat rekod tertinggi dan kejatuhan pasaran hartanah bandar raya itu yang membebankan kehidupan rakyat biasa. -AFP










