MIRI: Penduduk Long Lellang bersama pekerja lapangan terbang bersama memadamkan kebakaran selepas sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) terhempas di Long Lellang STOLport, Ulu Baram di sini petang semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, penduduk kampung bergegas ke lokasi sejurus kejadian dan membantu pekerja lapangan terbang memadamkan kebakaran menggunakan peralatan yang ada.
Beliau berkata, selepas kebakaran dipadamkan, kawasan nahas kemudiannya dikawal dan dipagarkan bagi mengelakkan sesiapa memasuki atau mengganggu lokasi berkenaan.
Katanya, penduduk Long Lellang juga sanggup berkampung di lokasi sepanjang malam bagi memastikan kawasan nahas kekal terpelihara sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa.
“Semalam malam, penduduk di Long Lellang berkampung di lokasi bagi memastikan kawasan itu tidak diganggu oleh sesiapa.
“Saya telah memaklumkan kepada penduduk di Long Lellang supaya tidak mengganggu lokasi berkenaan dan membiarkannya seperti keadaan asal sehingga Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) serta polis tiba,” katanya seperti dilaporkan Borneo Post.
Gerawat berkata, tindakan penduduk itu penting bagi memastikan lokasi nahas tidak terganggu sementara menunggu pasukan berkuasa menjalankan tugas termasuk siasatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Long Lellang dan pekerja Malaysia Airports (MAB) yang bertindak pantas membantu memadamkan kebakaran.
“Saya benar-benar berterima kasih kepada penduduk Long Lellang, pekerja MAB di lapangan terbang dan semua penduduk kampung yang telah melakukan yang terbaik untuk membantu di lokasi kejadian,” katanya.
Mengenai jumlah individu yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), Gerawat berkata beliau tidak mempunyai angka tepat.
Menurutnya, penduduk yang berada di kampung ketika kejadian turut memainkan peranan masing-masing untuk membantu mengawal keadaan.
“Semua yang berada di kampung melakukan apa yang mereka mampu. Fokus mereka hanya untuk membantu, memadamkan kebakaran dan memastikan api dapat dikawal,” katanya.
Dalam nahas kira-kira pukul 3.40 petang semalam, helikopter BO-105 yang dikendalikan Layang-Layang Aerospace Sdn. Bhd. terhempas di penghujung landasan Long Lellang STOLport ketika melakukan penerbangan FDS dari Miri.
Helikopter berkenaan membawa seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM), terdiri daripada seorang pegawai perubatan, pembantu perubatan dan dua jururawat. Kesemua lima individu berkenaan disahkan meninggal dunia.
Gerawat berkata, ahli keluarga tiga daripada lima mangsa telah tiba di Miri, manakala urusan membawa masuk keluarga dua mangsa yang lain sedang dilakukan.
Dalam perkembangan terbaharu, operasi untuk membawa pasukan ke lokasi nahas turut berdepan kelewatan akibat hujan lebat, dengan pihak berkuasa menunggu keadaan cuaca bertambah baik sebelum helikopter dapat dikerahkan.-UTUSAN.










