New York dedah rekod kesihatan, kualiti udara selepas serangan 11 September

New York dedah rekod kesihatan, kualiti udara selepas serangan 11 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Pentadbiran Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mendedahkan lebih 170,000 halaman rekod perbandaran berkaitan kesan serangan 11 September terhadap kualiti udara dan kesihatan, termasuk tindakan yang diambil bandar itu susulan tragedi berkenaan.

Mamdani mengumumkan pendedahan dokumen berkenaan serta pelancaran portal dalam talian untuk mengaksesnya pada Selasa.

Pendedahan itu dibuat selepas penyelesaian dua saman yang dikemukakan 9/11 Health Watch, sebuah organisasi yang sekian lama berusaha mendapatkan akses kepada dokumen berkenaan.

“Sudah terlalu lama, penduduk New York terpaksa berjuang untuk mendapatkan rekod yang sepatutnya tersedia untuk mereka sejak awal,” kata Mamdani dalam satu kenyataan.

Ketika sidang media, Mamdani berkata penderitaan akibat serangan 11 September tidak berakhir selepas asap hilang dan debu mendap.

“Orang ramai jatuh sakit kerana pemimpin yang mereka percayai berbohong dan memberitahu mereka bahawa udara beracun itu selamat untuk disedut,” katanya.

Dokumen yang didedahkan itu hanya merangkumi sebahagian kecil daripada laporan kualiti udara di Ground Zero.

Bagaimanapun, ia turut mengandungi memorandum dalaman yang menunjukkan New York City pernah mempertimbangkan kemungkinan berdepan liabiliti berkaitan isu kualiti udara.

Pendedahan rekod berkenaan dibuat tiga hari sebelum ulang tahun ke-25 serangan 11 September yang mengorbankan hampir 3,000 orang di New York City, Washington dan Pennsylvania.

Menurut pegawai, dokumen itu memberikan bukti lanjut pihak berkuasa bandar mengetahui udara di sekitar Menara Berkembar tercemar dan berbahaya, namun mengelirukan orang ramai dengan memberitahu keadaan itu selamat.

“Ketika itu, saya dan rakan-rakan yang mewakili Ground Zero serta komuniti sekitar segera memberi amaran kepada pegawai tempatan dan persekutuan mengenai risiko kesihatan yang berpunca daripada toksin di udara.

“Amaran kami tidak diendahkan dan kini kami serta orang ramai mengetahui bahawa Dewan Bandar Raya, yang ketika itu diketuai bekas Datuk Bandar, Rudy Giuliani, menjangkakan ribuan anggota pasukan penyelamat dan penduduk setempat akan berdepan kesan kesihatan jangka panjang yang serius akibat toksin berkenaan,” kata anggota Kongres, Jerry Nadler, dalam satu kenyataan.

Ahli Majlis Bandar Raya New York, Gale Brewer, turut menyuarakan pandangan yang sama.

“Selama 25 tahun, anggota pasukan penyelamat, mangsa yang terselamat, keluarga serta mereka yang tinggal, bekerja dan bersekolah di Manhattan Selatan terpaksa menanggung kesan kesihatan akibat 11 September, sedangkan maklumat penting dalam rekod bandar itu sendiri, termasuk bagaimana mereka jatuh sakit terus tidak dapat diakses,” katanya dalam satu kenyataan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×