IPOH: Infrastruktur uzur serta persekitaran yang tidak ceria menjadi antara punca mengapa 70 peratus kuarters guru di Perak tidak diduduki.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, setakat ini daripada 3,547 unit hanya 1,085 unit kuarters sedang diduduki manakala 2,462 unit atau 69.4 peratus lagi adalah kosong.
Tambahnya, lokasi yang tidak strategik, tinggal di rumah sendiri, rumah sewa yang lebih murah juga menjadi sebab mengapa warga pendidik tidak memilih kuarters guru.
“Kuarters yang kurang kondusif merupakan satu daripada punca. Mereka mahukan suasana yang kondusif, selamat dan ceria. Ada kuarters yang agak daif dan uzur yang memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih yang cukup tinggi (kos),” katanya semasa menjawab soalan Rahim Ismail (PN-Changkat Jering) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
Katanya, garis panduan pengurusan kuarters yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan yang sedang berkuat kuasa turut membenarkan permohonan penyewaan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan jabatan atau agensi kerajaan lain.
“Di Perak, pihak kementerian telah meluluskan beberapa permohonan penyewaan kepada syarikat swasta dan NGO,” katanya.
Jelasnya, pihak kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) juga telah melawat beberapa kuarters untuk menjadikan kuarters tersebut sebagai rumah sewa.
“Sebahagian kuarters pendidikan di negeri Perak ini memerlukan kos penyelenggaraan agak tinggi hingga mencecah jutaan ringgit.
“Perkara ini menyebabkan usaha kerajaan negeri untuk menggunakan kuarters pendidikan yang kosong dan tiada permintaan dari warga pendidik atau kakitangan kerajaan yang lain perlu diperhalusi dengan teliti kerana implikasi kewangan yang tinggi,” katanya. – UTUSAN









