Nampak hasil mungkin sehari, perjalanan mahu sampai ke situ mungkin bertahun-tahun - Aniq Suhair - Utusan Malaysia

Nampak hasil mungkin sehari, perjalanan mahu sampai ke situ mungkin bertahun-tahun – Aniq Suhair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Aniq Suhair, meluahkan rasa kagum terhadap peniaga dalam talian yang mampu meraih jualan mencecah ratusan ribu ringgit dalam tempoh sehari.

Aniq atau Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 25, berkata, dia sendiri menyedari bukan mudah untuk mencapai jumlah jualan sedemikian kerana menguruskan 500 tempahan sehari pun sudah cukup mencabar.

“Saya memang hormat mereka yang berniaga dalam talian dan boleh buat jualan ratusan ribu dalam sehari. Bukan senang nak sampai ke tahap itu.

“Saya nak capai 500 tempahan sehari pun susah dan memang berdarah tekak. Itu yang buat saya lagi faham besarnya usaha mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.

Tambah Aniq, kejayaan dalam perniagaan tidak bergantung kepada satu faktor semata-mata tetapi memerlukan gabungan penjenamaan, pemasaran, konsisten dan kegigihan yang berterusan.

“Semua ini sebenarnya tentang penjenamaan, pemasaran, konsisten dan kegigihan. Itu yang saya nampak sebagai perkara paling penting.

“Orang mungkin nampak hasilnya berlaku dalam sehari, tetapi perjalanan nak sampai ke situ sebenarnya mengambil masa bertahun-tahun,” ujarnya.

Aniq berkata, setiap individu mempunyai perjalanan yang berbeza untuk mencapai kejayaan dan tidak wajar membandingkan proses masing-masing.

“Masing-masing ada perjalanan sendiri dan kita tak perlu bandingkan dengan orang lain. Yang penting, jangan berhenti. Teruskan berjalan sampai kita dapat apa yang kita nak. Jalan terus,” katanya.

Untuk rekod, Aniq Suhair yang merupakan bekas finalis Hero Remaja 2019/2020, memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2020 menerusi drama bersiri pertamanya bertajuk Kebaya Kasut Kanvas yang ditayangkan di TV3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×