Pesalah rasuah perlu jalani hukuman sepenuhnya

Pesalah rasuah perlu jalani hukuman sepenuhnya

PH
PAKATAN HARAPAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan kes-kes berprofil tinggi perlu menjalani sepenuhnya tempoh hukuman ditetapkan mahkamah.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, sebarang keputusan dalam kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda memperkukuh tatakelola dan memulihkan keyakinan terhadap institusi negara.

Katanya, proses kehakiman bagi kes yang sedang berjalan perlu diberi ruang untuk diselesaikan secara teratur dan bebas tanpa dipengaruhi sebarang pertimbangan lain.

“Beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini turut memberikan kesan besar terhadap nama dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara telah berusaha keras untuk membina semula keyakinan terhadap institusi, tatakelola serta keupayaan Malaysia menangani rasuah dan salah guna kuasa. Momentum pemulihan ini perlu terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, PH memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan dalam memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.

Majlis Setiausaha PH berkata, gabungan itu turut menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya setiap kes disiasat secara menyeluruh tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Katanya, PH sebagai sebuah gabungan politik sejak awal membawa perjuangan reformasi institusi, tatakelola yang baik serta penolakan terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menurut kenyataan itu, PH dibina atas dukungan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang yang meletakkan harapan besar terhadap agenda reformasi serta pembentukan sebuah negara yang bersih, berintegriti dan bertanggungjawab.

“Amanah tersebut menuntut kami untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan dengan situasi yang mencabar dan berdepan tekanan dari pelbagai sudut,” menurut kenyataan itu.

PH turut mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa sama kekal teguh mempertahankan prinsip reformasi, kedaulatan undang-undang serta perjuangan membanteras rasuah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×