Datuk Yusof Haslam puji sinematografi filem Munafik: Melawan Iblis versi Indonesia - Utusan Malaysia

Datuk Yusof Haslam puji sinematografi filem Munafik: Melawan Iblis versi Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit, Datuk Yusof Haslam, berpuas hati dengan hasil adaptasi filem Munafik versi Indonesia, Munafik: Melawan Iblis, yang disifatkannya mengekalkan kekuatan karya asal meskipun terdapat beberapa pengubahsuaian babak dalam filem berkenaan.

Yusof Haslam atau Mohd Yusof Md Haslam Khan, 72, berkata, keputusan membenarkan karya arahan Syamsul Yusof itu dihasilkan semula dibuat selepas mendapat persetujuan anaknya memandangkan filem tersebut sudah memasuki tempoh 10 tahun sejak diterbitkan pada 2016.

“Mereka bercadang menghasilkan semula filem ini dalam versi Indonesia, jadi saya bertanya kepada Syamsul dan dia bersetuju. Oleh sebab karya itu sudah berusia 10 tahun, kami benarkan ia dibuat semula.

“Kami juga mempunyai bahagian dalam kerjasama itu kerana ia adalah karya Syamsul. Cuma bahagian kami tidaklah besar kerana mereka memegang majoriti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Katanya, perkembangan awal tayangan filem itu di Indonesia turut memberikan petanda positif apabila berjaya menarik seramai 137,000 penonton pada hari pertama tayangan.

“Alhamdulillah, hari pertama tayangan filem itu mencatat 137,000 penonton. Itu satu petanda yang baik.

“Mudah-mudahan ia terus mendapat sambutan. Bagi saya, kerjasama seperti ini memang sesuatu yang bagus,” ujarnya.

Yusof berkata, versi Indonesia itu tidak dihasilkan secara bulat-bulat tetapi diolah semula mengikut kesesuaian penonton di negara tersebut.

“Sudah tentu mereka membuat beberapa pengubahsuaian, ada yang sama dan ada yang tidak sama. Ada juga penambahan watak serta beberapa perubahan dalam penceritaan.

“Kalau dibuat 100 peratus sama pun tidak menjadi juga. Apabila ada penambahan watak, visual yang berbeza dan perubahan pada beberapa babak, ia memberi kelainan,” tambahnya.

Kata Yusof, dia sendiri sudah menonton filem tersebut di Jakarta dan berpuas hati dengan pendekatan sinematografi serta pengarahan yang ditampilkan.

“Saya sudah tengok di Jakarta dan saya nampak ada perbezaan daripada segi sinematografi dan arahannya. Bagi saya, itu memberikan identiti tersendiri kepada versi mereka.

“Tentang karya mana yang lebih hebat, saya serahkan kepada penonton untuk menilai. Itu terpulang kepada mereka. Bagi saya, ia bukan produksi yang murah. Nampak kualiti daripada segi produksi, arahan dan lakonannya.

“Saya puas hati, Syamsul sebagai penerbit pun puas hati, begitu juga Syafiq. Alhamdulillah, kami semua berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Untuk rekod, filem ini merupakan kolaborasi sulung antara pengarah asal Malaysia, Syamsul Yusof, yang bertindak selaku penulis skrip bersama dan penasihat kreatif, dengan pengarah Indonesia, Guntur Soeharjanto.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×