SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim enggan mengulas dakwaan beliau telah menandatangani surat cara proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Tak ada nak komen,” katanya ringkas ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sebuah resort di sini, awal pagi tadi.
Mesyuarat yang bermula pada pukul 8 malam semalam itu turut dihadiri barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan.
Terdahulu, media melaporkan Pembesar Memerintah Negeri Sembilan, Undang Yang Empat mendedahkan surat yang ditandatangani Ismail bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika menghadap Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar di Istana Laguna Biru, Port Dickson pada 3 Ogos lalu.
Pendedahan itu dibuat pada sidang akhbar semalam yang dihadiri Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah dan Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin.-UTUSAN










