WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) berkata, sebuah dron bawah air miliknya mengalami kerosakan selepas Iran mendakwa pasukannya berjaya menawan kapal selam tanpa pemandu AS di Selat Hormuz yang strategik.
“Dron bawah air yang dikendalikan pasukan AS mengalami kerosakan lebih sehari lalu.
“Dron itu sedang menjalankan tinjauan di perairan serantau bagi menyokong operasi yang sedang berlangsung,” kata jurucakap Markas Pusat AS (CENTCOM), Kapten Tim Hawkins, tanpa menyatakan sama ada peranti itu dirampas Iran.
Hawkins berkata, dron yang mengalami kerosakan itu merupakan model lama yang tidak mengumpul data sensitif serta tidak dilengkapi peralatan sonar atau radar terperingkat.
Sebelum itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa pihaknya merampas sebuah dron AS di pintu masuk Selat Hormuz dalam satu operasi risikan dan ketenteraan yang kompleks, sambil menyifatkannya sebagai antara kapal selam tanpa pemandu paling moden dan pintar yang dikendalikan pasukan AS.
Iran mengekalkan sekatan terhadap Selat Hormuz yang lazimnya menjadi laluan kira-kira satu perlima eksport minyak dan gas asli cecair dunia sejak perang tercetus pada akhir Februari, manakala AS mengenakan sekatan sendiri terhadap pelabuhan Iran.-AFP










