PETALING JAYA: Pasukan DPMM FC dilaporkan berminat untuk menandatangani penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado.
Kelab dari Brunei itu menyatakan Hasrat untuk menandatangani Holgado selepas pemain berkenaan memiliki pengalaman luas beraksi di beberapa liga Amerika Latin.
“DPMM FC berminat mendapatkan khidmat penyerang kelahiran Argentina yang berstatus pemain Malaysia, Rodrigo Holgado.
“Dari 2017 hingga 2018, Holgado beraksi di Mexico bersama Albinegros Orizaba dan Veracruz sebelum berpindah ke Chile pada 2018 untuk menyertai Coquimbo Unido dalam saingan divisyen kedua dan membantu kelab itu menjuarai liga.
“Sepanjang berada di Chile, Holgado turut beraksi bersama Audax Italiano dan Curico Unido sebelum kembali menyertai Coquimbo Unido pada 2023 dalam saingan divisyen utama secara pinjaman daripada kelab Argentina, Gimnasia La Plata.
“Pada musim 2022-2023, penyerang itu menjaringkan 24 gol ketika mewakili Audax Italiano dan Curico Unido. Pada 2024, pemain berusia 31 tahun itu berpindah ke Colombia untuk menyertai America de Cali dan muncul antara penjaring terbanyak kelab berkenaan dalam saingan divisyen utama Colombia dengan 17 gol,” kata DPMM FC.
Bagaimanapun, hasrat DPMM FC mendapatkan khidmat Holgado perlu mengambil kira status penggantungannya susulan kes pemalsuan dokumen ketika mewakili Harimau Malaya bersama enam pemain lain.
Kesemua pemain terbabit kini menjalani penggantungan 12 bulan selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan mereka dan mengekalkan hukuman berkenaan.
Mereka sebelum ini sempat kembali beraksi pada awal tahun sebelum perlu meneruskan baki hukuman, dengan tempoh penggantungan dijangka berakhir pada November ini. – UTUSAN








