SEREMBAN: Kelantan City FC (KCFC) melayakkan diri ke suku akhir Piala FA selepas menang secara agreget, 4-3, dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini petang tadi.
Bagaimanapun NSFC menang dalam perlawanan itu dengan jaringan, 3-2.
KCFC turun padang petang ini dengan kelebihan dua gol mengatasi NSFC selepas pasukan pelawat itu menang dalam perlawanan pusingan pertama pada 2 September lalu di Kota Bharu.
Pasukan tuan rumah berada di depan dengan gol pertama pada minit kelima hasil tandukan Yusuke Minagawa yang menerima bola hantaran Muhammad Hairiey Hakim.
Pada minit ke-34, NSFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol KCFC, Mohammad Fikri Che Soh.
Muhammad Akhyar mudah menyempurnakan sepakan penalti itu sekaligus menjadikan kedudukan perlawanan kepada 2-0 manakala agreget pula ialah 2-2.
Memasuki babak separuh masa kedua, KCFC bermula dengan pantas bagi mencari gol untuk mengatasi kedudukan secara agreget.
Minit ke-52, pasukan pelawat mendapat sepakan sudut yang diambil oleh Muhammad Hadin Azman.
Dandy Arbdallah melonjak menanduk masuk boleh ke gawang NSFC.
Seminit selepas itu, KCFC memperoleh gol jarak jauh melalui sepakan Muhammad Asraff Alifuddin Yasin dari jarak 40 meter yang gagal diselamatkan oleh Muhammad Azri Ab. Ghani.
NSFC menjaringkan gol ketiga melalui Park Yiyong menanduk masuk sepakan sudut oleh Jovan Motika.
Namun jaringan itu tidak menjejaskan kelayakan KCFC ke suku akhir Piala FA.-UTUSAN










