51 projek sakit, 6 projek perumahan terbengkalai

51 projek sakit, 6 projek perumahan terbengkalai

SANDREA Ng Shy Ching menjawab soalan mengenai projek perumahan terbengkalai semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 51 projek sakit dan enam projek perumahan swasta terbengkalai direkodkan di Perak mengikut data rasmi di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, mengikut takrif JPN, projek sakit ialah projek yang lewat melebihi 30 peratus berbanding kemajuan sepatutnya atau telah melepasi tempoh perjanjian jual beli.

Tambahnya, projek terbengkalai pula berada pada tahap lebih serius, antaranya apabila tiada aktiviti pembinaan yang ketara selama enam bulan secara berterusan dan kemudiannya disahkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Katanya, ada projek berma­salah kerana kewangan, ma­salah tanah, kontraktor, utiliti, infrastruktur atau syarat teknikal.

“Selalunya satu projek mempunyai beberapa masalah yang saling berkait. Sebab itu kita gunakan pendekatan secara berasingan dan cuba mengenal pasti punca sebenar,” katanya semasa menjawab soalan Dr. Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini, semalam.

Jelasnya, kerajaan negeri me­mainkan peranan kerana ba­nyak isu yang menentukan sama ada projek boleh bergerak semula atau tidak adalah melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tanah, infrastruktur, utiliti dan agensi negeri.

“Kerajaan negeri tidak me­ngambil alih tanggungjawab pemaju. Tanggungjawab menyiapkan projek tetap pada pemaju.

“Peranan kita ialah memastikan perkara yang boleh di­selesaikan melalui kuasa dan penyelarasan kerajaan tidak menjadi sebab projek terus tersekat dan pembeli terus menunggu,” katanya.

Katanya, keutamaan keraja­an negeri ialah mengesan tanda-tanda masalah lebih awal sebelum sesuatu projek sampai ke tahap terbengkalai.

Jelas beliau, kerajaan nege­ri juga mempunyai pangkalan maklumat pembangunan perumahan daripada semua PBT di Negeri Perak.

“Sekiranya sesuatu projek telah mendapat kelulusan tetapi selepas satu tempoh masih tidak menunjukkan perkembangan yang munasabah, semakan dan tindakan susulan boleh dibuat lebih awal, tanpa menunggu sehingga projek itu menjadi sakit atau terbengkalai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×