KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang bakal menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin yang memaklumkan nama pelumba berusia 38 tahun itu sudah disenaraikan dalam kontinjen negara.
“Ya, Azizulhasni akan bertanding. Nama dia sudah disenarai dan beliau pun sekarang berada dalam kem fasa akhir di Brisbane bersama pasukan kebangsaan untuk ke Aichi-Nagoya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kontinjen negara ke Aichi-Nagoya 2026, dekat Bukit Jalil, semalam.
Pengesahan itu sekali gus menyaksikan Azizulhasni kembali ke pentas Sukan Asia selepas kali terakhir membuat penampilan pada edisi Jakarta-Palembang 2018.
Pada edisi tersebut Azizulhasni berjaya membawa pulang satu pingat emas menerusi acara pecut selain turut meraih pingat perak (pecut berpasukan) dan gangsa untuk acara keirin.
Bagaimanapun beliau tidak dapat beraksi pada edisi 2023 di Hangzhou selepas mengalami kecederaan pada kaki dan pinggul kirinya susulan kemalangan dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai.
Selepas beraksi di temasya terbesar Asia itu, Azizulhasni dijadual beraksi pada Kejohanan Dunia Trek dekat Shanghai yang menawarkan kutipan mata bagi memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Untuk rekod, Azizulhasni sebelum ini mencipta sejarah apabila muncul pelumba Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik dalam acara trek menerusi gangsa keirin di Rio 2016 sebelum menambah pingat perak pada Tokyo 2020. – UTUSAN










