MELAKA: Seorang pegawai kanan perubatan direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka berhubung dakwaan menyalahgunakan kedudukan dalam urusan pembekalan implan lutut bernilai kira-kira RM1.5 juta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pagi tadi.
Suspek yang juga penjawat awam berkenaan ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Melaka.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dalam tempoh antara 2024 hingga 2026.
Suspek dipercayai mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat pembekal implan lutut berkenaan, manakala syarikat terbabit dipercayai dimiliki oleh ahli keluarganya.
Siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana penglibatan suspek dalam urusan pembekalan tersebut serta sama ada berlaku penyalahgunaan kedudukan bagi mendapatkan kepentingan tertentu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Menurutnya, suspek direman sehingga 12 September ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, SPRM bagaimanapun tidak menolak kemungkinan memanggil beberapa individu lain untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan. – UTUSAN







