Saya bertanggungjawab - Rahim Omar tekad selesaikan isu bayaran rumah sewa - Utusan Malaysia

Saya bertanggungjawab – Rahim Omar tekad selesaikan isu bayaran rumah sewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rahim Omar memaklumkan belum mempunyai wang mencukupi untuk melunaskan bayaran rumah sewa yang tertunggak seperti dilaporkan media sebelum ini.

Rahim, yang ditemui media sewaktu sidang akhbar Kilauan Emas Selebriti baru-baru ini berjanji akan membayar jumlah penuh, iaitu RM7,000 selepas wang yang dikumpul, mencukupi.

“Insya-Allah, saya tak akan lari, akan lunaskan bayaran tertunggak. Saya orangnya bertanggungjawab.

“Cuma buat masa sekarang, saya belum ada wang yang mencukupi, alasan apa lagi saya nak berikan?,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial apabila Rahim didakwa gagal membayar sewa rumah didudukinya selepas didedahkan seorang pengguna Threads yang memuat naik tangkap layar perbualan mereka.

Namun kata beliau, pemilik rumah berkenaan telah berhenti mengganggunya selepas beliau bertindak menjelaskan perkara itu kepada media.

“Selepas isu tunggakan bayaran sewa ini tular di media, dia tidak lagi menghubungi saya. Maksudnya dia sudah faham keadaan.

“Saya sebenarnya tak mahu buka aib sesiapa, dan orang akan kata saya menegakkan benang yang basah kalau berterusan bercakap mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Peserta Kilauan Emas Selebriti itu enggan melayan komen netizen mengenainya di media sosial kerana mereka tidak melalui apa yang dilaluinya.

“Orang selalu kata, bayarlah sedikit demi sedikit, lama kelamaan selesai tunggakan itu. Tapi hakikatnya mereka tak tahu yang saya terlalu banyak komitmen.

“Tambah pula, tahun lepas enam bulan saya tiada pekerjaan, dua tahun lalu pula diuji dengan kerugian sehingga RM500,000. Takkan saya nak bercerita lanjut mengenai masalah saya.

“Apa pun saya mengutamakan keluarga. Dalam apa juga situasi, mereka lebih penting. Sebab itu pendapatan saya sekarang ini cukup-cukup untuk survival saya dan keluarga,” kongsinya.

Dalam pada itu, Rahim juga memaklumkan yang beliau terpaksa menerima tawaran lakonan dengan bayaran rendah semata-mata untuk menjana pendapatan selain mengumpul wang untuk membayar tunggakan tersebut.

“Pada fikirannya, semua artis ini berduit. Hakikatnya kita bukan seperti Hollywood yang sebahagian besar artisnya kaya raya.

“Walaupun projek itu bajetnya rendah, saya terpaksa terima. Tak ada pilihan lain. Saya terpaksa ambil demi kelangsungan hidup.

“Alhamdulillah keadaan semakin baik, tawaran kerja berlakon ada. Tambah pula pembabitan dalam Kilauan Emas Selebriti sedikit sebanyak membantu saya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×