JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri sedia memohon pelaksanaan pembenihan awan lebih awal daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai langkah proaktif berdepan fenomena ‘Super El Nino’ yang dijangka bermula Oktober hingga Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, buat masa ini, paras air di 17 empangan di seluruh negeri masih stabil dan mampu bertahan sehingga enam bulan.
Tambahnya, hanya Empangan Gunung Pulai diletakkan pada tahap berjaga-jaga berikutan trend penurunan paras air yang dikesan di kawasan berkenaan.
“Kita sudah berhubung dengan Nadma untuk persediaan pembenihan awan. Mungkin kali ini kita mohon dilakukan lebih awal sebelum berlakunya kemarau.
“Pembenihan awan sudah dilaksanakan di beberapa tempat di negara ini, tetapi di Johor belum lagi setakat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Libat Urus Perkukuh Imej Pemandu Teksi Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Johor (Jotic), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli menjelaskan, pola perubahan cuaca di negeri ini menyaksikan risiko penyusutan air berbeza mengikut kawasan setiap tahun.
“Jika tahun lepas Empangan Machap yang paling terjejas, tahun ini kita jangka Empangan Gunung Pulai pula berisiko berdasarkan trend penurunan di situ. Bagaimanapun, kita belum muktamadkan empangan mana yang perlu diberikan tumpuan khas.
“Pelbagai inisiatif sokongan sedia dilaksanakan termasuk pelan penyahgaraman bagi kawasan Lok Heng, Kota Tinggi dan pemasangan pam tambahan di Empangan Machap bagi meningkatkan pelepasan air ke Loji Rawatan Air (LRA).
“Selain itu, kerja-kerja mengepam air dari sumber air sekunder secara skala kecil turut dirangka sekiranya paras empangan menunjukkan penyusutan berterusan,” katanya.-UTUSAN








