‘Anak bongsu tidak sabar balik selepas 11 hari di hutan’

‘Anak bongsu tidak sabar balik selepas 11 hari di hutan’

AHMAD RIDHUAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Anak bongsu kepada keluarga empat beranak yang dikhuatiri hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Trans Gerah (Trans GBB) sudah tidak sabar untuk pulang selepas berada di dalam hutan selama 11 hari.

Abang ipar Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, Ahmad Ridhuan Abdullah, 44, berkata keluarga mereka turut meluahkan rasa lega dan syukur selepas mendapat tahu kesemua enam pendaki termasuk dua malim gunung berada dalam keadaan selamat.

“Bila tahu mereka selamat, kami dah rasa lega sangat-sangat. Kalau tidak, nak tidur pun susah. Makan pun entah ke mana kerana terlalu risau memikirkan keadaan mereka.

“Jadi apabila dapat tahu mereka selamat, kami memang sangat-sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Ridhuan, anak bongsu Wan Ahmad Aslam, Ahmad Raef, 9, antara yang paling tidak sabar untuk keluar dari hutan kerana tempoh pendakian yang sepatutnya hanya mengambil masa sekitar lima hingga enam hari menjadi lebih lama.

Katanya, perkara itu disuarakan menerusi panggilan video ketika mereka sekeluarga tiba di Pos Kemar, semalam.

“Yang kecil itu memang sudah tidak sabar-sabar hendak keluar dari hutan sebab bagi dia sudah terlalu lama.

“Mereka menjangkakan pendakian itu mengambil masa lima hingga enam hari, tetapi sekarang sudah masuk hari ke-11 mereka berada di sana.

“Alhamdulillah, mereka memang sangat-sangat tidak sabar untuk keluar,” katanya.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan selepas keenam-enam pendaki terbabit gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.

Keenam-enam individu itu dilaporkan memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lalu sebelum ditemui selamat pada 7 September.

Mereka ialah dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, serta empat sekeluarga iaitu Wan Ahmad Aslam, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9.

Kesemua pendaki kemudian dibawa keluar dari kawasan hutan selepas pasukan penyelamat berjaya mengesan lokasi mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×