KUALA LUMPUR: Legasi Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam memperkukuh perpaduan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi terus menjadi asas kepada usaha Kerajaan Madani membina negara bangsa bersatu dan mempunyai jati diri kukuh.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sumbangan negarawan itu selepas peristiwa 13 Mei 1969 khususnya dalam memulihkan keamanan dan kestabilan negara kekal relevan sehingga hari ini.
Menurutnya, sebagai Pengerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Tun Abdul Razak memimpin pentadbiran negara dalam tempoh darurat bagi menangani dua cabaran utama ketika itu iaitu memulihkan perpaduan kaum dan mengatasi ketidakseimbangan sosioekonomi.
“Di bawah kepimpinan MAGERAN, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan pada Julai 1969, manakala Majlis Perundingan Negara ditubuhkan pada Januari 1970 sebagai platform membina semula perpaduan nasional,” katanya berucap pada Program Mengenang Negarawan Tun Abdul Razak: Arkitek Pembangunan Negara Bangsa di Memorial Tun Abdul Razak, Jalan Perdana, di sini hari ini.
Aaron berkata, hasil usaha tersebut turut menyaksikan Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan yang kekal menjadi kompas dalam membina jati diri dan memperkukuh perpaduan rakyat sehingga kini.
Katanya, pendekatan itu kini diteruskan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi pelbagai inisiatif yang menyasarkan penghayatan Rukun Negara dari peringkat awal usia hingga dewasa.
“Berteraskan asas tersebut, Kementerian Perpaduan Negara terus memastikan penghayatan Rukun Negara berkembang mengikut keperluan zaman menerusi pendekatan cradle to grave,” katanya.
Beliau berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kementerian diberi mandat untuk menerajui Tonggak Pembinaan Negara Bangsa sebagai antara agenda penting dalam memperkukuh perpaduan dan identiti nasional.
Katanya, usaha berkenaan merupakan kesinambungan daripada gagasan yang dipelopori negarawan terdahulu termasuk Tun Abdul Razak.
“Justeru, Kementerian Perpaduan Negara kini sedang memperkukuh langkah tersebut melalui pembangunan Blueprint Pembinaan Negara Bangsa.
“Blueprint ini akan memperkukuh beberapa asas penting termasuk pemerkasaan identiti nasional, penghayatan Rukun Negara, pendidikan kenegaraan, pengukuhan perpaduan di peringkat komuniti serta penglibatan generasi muda,” katanya.- UTUSAN










